Mencari penamat drama Pas-Bersatu

Hubungan antara Pas dan Bersatu ketika ini ibarat drama bersiri yang sarat dengan pelbagai kejutan.
Hubungan antara Pas dan Bersatu ketika ini ibarat drama bersiri yang sarat dengan pelbagai kejutan.
A
A
A

HUBUNGAN antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika ini ibarat drama bersiri yang sarat dengan pelbagai kejutan apabila pemimpin kedua-dua parti yang bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) itu saling berbalas kenyataan secara terbuka.

Kemelut yang pada asalnya hanya melibatkan kepimpinan dalam Bersatu susulan timbul dakwaan wujud dua kem iaitu Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, namun kini merebak kepada parti dalam gabungan berkenaan.

Ketegangan antara kedua-dua parti berkenaan semakin memuncak apabila berlaku krisis politik di Perlis hingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar daripada Pas digantikan dengan pemimpin Bersatu.

Tidak terhenti di situ, kemelut terus berlanjutan apabila Muhyiddin meletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu dan hingga kini kerusi tersebut masih kosong.

Di sebalik penantian untuk melihat siapa pemimpin Pas yang bakal diangkat untuk mengetuai gabungan pembangkang itu, drama berbalas serangan bagaikan belum menemui titik noktah apabila pendedahan demi pendedahan dibuat dan terbaharu melibatkan bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Drama hubungan Pas-Bersatu menjadi lebih rumit apabila faktor kuasa dan jawatan turut bermain peranan yang mana dalam politik, persefahaman selalunya diuji apabila keputusan perlu dibuat mengenai siapa memimpin, siapa mengalah dan siapa mendapat bahagian lebih besar.

Ketika kepentingan ini tidak selari, keretakan mula kelihatan, sama ada melalui kenyataan terbuka, sindiran halus atau pergerakan senyap di peringkat dalaman.

Dari sudut pengundi, konflik berpanjangan ini boleh membawa keletihan politik. Rakyat mengharapkan kestabilan dan kejelasan hala tuju mungkin mula mempersoalkan keikhlasan kerjasama yang berubah mengikut musim.

Jika drama ini berlarutan tanpa penamat jelas, ia berisiko menghakis kepercayaan, bukan sahaja Pas dan Bersatu tetapi juga konsep kerjasama politik itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Persoalannya kini, ke manakah arah hubungan ini akan dibawa? Adakah Pas dan Bersatu mampu mencari titik persefahaman baharu yang lebih matang dan realistik atau masing-masing akan memilih untuk bergerak secara solo demi kelangsungan sendiri?

Jawapan persoalan ini banyak bergantung kepada kebijaksanaan kepimpinan kedua-dua parti dalam membaca isyarat rakyat dan realiti politik semasa.

Jika penamat drama ini ingin ditulis dengan baik, ia menuntut lebih daripada sekadar rundingan kuasa tetapi ia memerlukan kejelasan prinsip, kejujuran dalam kerjasama dan kesediaan untuk utamakan kepentingan awam berbanding keuntungan politik jangka pendek.

Tanpa elemen tersebut, drama Pas-Bersatu mungkin terus bersambung, dengan skrip sama, tetapi penonton semakin berkurangan.

Akhirnya, dalam dunia politik, setiap drama pasti ada penamatnya, namun persoalan yang tinggal hanyalah sama ada penamat itu akan dikenang sebagai satu titik kematangan politik atau sekadar satu lagi episod kekecewaan dalam sejarah percaturan kuasa negara.

Pengundi dan rakyat memerhati dan tindakan ini pastinya akan diterjemah dalam pilihan raya negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dalam tempoh terdekat.

Laungan PN mengambil alih pentadbiran negara mungkin akan jadi impian kosong jika kemelut dalaman ini tidak ditangani dengan baik dan diselesaikan secara berhemah. Kepada mana-mana parti politik, tidak kira kerajaan atau pembangkang, jika hendak menangi hati pengundi buktikan dengan tindakan bukan sekadar cakap-cakap kosong.

*Nurul Huda Husain ialah wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!