Belanjawan 2026: Pendidikan tinggi percuma buka laluan baharu anak muda Malaysia - Pakar pendidikan

Belanjawan 2026 menunjukkan komitmen kukuh untuk memastikan pendidikan di Malaysia kekal mudah diakses, inklusif dan berdaya saing di peringkat global. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mallika
Belanjawan 2026 menunjukkan komitmen kukuh untuk memastikan pendidikan di Malaysia kekal mudah diakses, inklusif dan berdaya saing di peringkat global. - Gambar hiasan, gambar kecil: Mallika
A
A
A

SHAH ALAM - Akses pendidikan percuma untuk pelajar dalam kalangan keluarga miskin melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), bakal membuka laluan baharu kepada ramai anak muda Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

Dekan Eksekutif Fakulti Pendidikan & Kemanusiaan di UNITAR, Profesor Dr Mallika Govindarajoo berkata, langkah bersejarah itu akan meringankan beban kewangan golongan terlibat, sekali gus merealisasikan matlamat pendidikan yang inklusif.

"Inilah hasrat pendidikan inklusif, yang daya memastikan peluang tidak terhad kepada golongan yang tidak berkemampuan.

"Sebagai seorang pendidik, saya percaya bahawa pendidikan tidak seharusnya menjadi keistimewaan elit, tetapi hak untuk semua," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menerusi Perbentangan Belanjawan 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengumumkan pendidikan percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin, berpendapatan RM2,705 dan ke bawah yang mengikuti pengajian di IPTA bermula tahun hadapan.

Peruntukan sebanyak RM120 juta setahun disediakan dalam Belanjawan 2026 untuk melaksanakan insentif tersebut.

Mengulas lanjut, Mallika berkata, Belanjawan 2026 menunjukkan komitmen kukuh untuk memastikan pendidikan di Malaysia kekal mudah diakses, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.

"Setiap tahun, peruntukan untuk sektor pendidikan dalam belanjawan negara terus meningkat dan pada tahun 2026, sektor ini akan menerima RM66.2 bilion.

"Ini mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap pendidikan sebagai keutamaan nasional. Saya menyeru ibu bapa, pelajar dan para profesional untuk mengambil peranan aktif dalam merebut peluang yang diwujudkan, kerana mereka yang gagal berbuat demikian berisiko ketinggalan dalam dunia yang berubah dengan pantas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama beliau turut menyambut baik penekanan kepentingan Bahasa Kebangsaan dengan penekanan semula terhadap pengukuhan penguasaan bahasa Melayu, termasuk dalam kalangan pelajar Malaysia di sekolah antarabangsa.

Ujarnya, penguasaan bahasa tersebut membolehkan graduan masa depan berhubung dengan rakyat Malaysia merentas komuniti dalam bidang perniagaan dan profesional.

"Pendidikan bukan sekadar pemerolehan ilmu, ia adalah saluran yang berkuasa untuk perpaduan dan kebersamaan, dan bahasa Melayu kekal sebagai teras identiti bersama kita sebagai rakyat Malaysia.

"Pada masa yang sama, penekanan terhadap penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah rendah akan memastikan generasi akan datang bersedia untuk berjaya dalam persekitaran global yang saling berhubung dan berdaya saing," katanya.

Tambahnya, dengan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan memperkukuh bahasa Inggeris sebagai bahasa penglibatan global, kita dapat melahirkan generasi masa depan yang berteraskan nilai kebangsaan dan dilengkapi dengan kemahiran untuk berjaya di pentas dunia.

Ringkasan AI

  • Akses pendidikan percuma diperkenalkan untuk pelajar keluarga miskin di IPTA, menandakan langkah inklusif dalam pendidikan
  • Profesor Dr Mallika Govindarajoo menggariskan pendidikan sebagai hak semua, bukan keistimewaan elit
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar mengumumkan peruntukan RM120 juta setahun untuk pendidikan percuma ini melalui Belanjawan 2026
  • Belanjawan 2026 menekankan pada pendidikan inklusif, mudah diakses dan berdaya saing dengan peruntukan sektor pendidikan meningkat menjadi RM66.2 bilion
  • Penguasaan Bahasa Melayu dan peningkatan Bahasa Inggeris dilihat sebagai elemen penting dalam memperkukuh identiti kebangsaan dan kejayaan di peringkat global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!