Subsidi: Sekat akses warga asing perkukuh pengurusan fiskal negara

SEKATAN akses warga asing terhadap barangan subsidi seperti minyak masak peket dan petrol RON95 dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam usaha memperkukuh pengurusan fiskal negara.
Berdasarkan anggaran pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, langkah tersebut berpotensi menjana penjimatan antara RM10 bilion hingga RM12 bilion setahun, sekali gus menutup sebahagian besar ketirisan subsidi yang telah berlarutan sekian lama.
Isu ketirisan subsidi bukanlah perkara baharu. Selama bertahun-tahun, subsidi yang bertujuan meringankan beban rakyat tempatan turut dinikmati warga asing, termasuk melalui aktiviti penyeludupan ke negara jiran.
Menurut Barjoyai, walaupun penjimatan daripada larangan penjualan minyak masak peket bersubsidi dianggarkan sekitar RM2 bilion sahaja, langkah tersebut tetap penting sebagai usaha membaiki kelemahan sistem kawalan subsidi sedia ada.
Sebaliknya, penjimatan terbesar dijangka datang daripada rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang sebelum ini menelan perbelanjaan tinggi kerajaan.
Dalam konteks ekonomi negara yang berdepan tekanan kos sara hidup serta keperluan menstruktur semula perbelanjaan awam, keputusan ini memberi isyarat jelas bahawa kerajaan mula bersikap lebih tegas dalam memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak.
Langkah tersebut juga selari dengan prinsip keadilan sosial, apabila sumber negara tidak lagi dibazirkan kepada pihak luar yang tidak menyumbang secara langsung kepada sistem percukaian negara.
Namun demikian, kejayaan sebenar dasar ini bergantung kepada keberkesanan mekanisme penguatkuasaan di peringkat runcit, selain penggunaan sistem pengenalan yang telus serta tidak membebankan rakyat.
Kegagalan mengawal pelaksanaannya boleh mengundang masalah baharu seperti kewujudan pasaran gelap atau manipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Dari sudut dasar awam, penjimatan berbilion ringgit yang dijangka diperoleh membuka ruang kepada kerajaan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat, sama ada melalui peningkatan bantuan tunai, penambahbaikan perkhidmatan asas atau pelaburan dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
Secara keseluruhan, tindakan kerajaan ini boleh dianggap sebagai langkah awal ke arah reformasi subsidi yang lebih mampan.
Jika dilaksanakan secara konsisten dan telus, ia bukan sahaja dapat mengurangkan pembaziran, malah mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan dalam mengurus kewangan negara secara berhemah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
