Perak fokus perkasa belia tani melalui TVET, pastikan sektor pertanian kekal berdaya saing

SUNGAI SIPUT – Kerajaan Perak memberi fokus memperkasa belia tani melalui latihan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha memastikan sektor pertanian kekal berdaya saing serta menjadi teras keterjaminan makanan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif itu digerakkan melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan matlamat melahirkan lebih ramai generasi muda yang berkemahiran dalam bidang agro dan teknologi pintar.
Menurutnya, usaha tersebut penting kerana sektor pertanian bukan sahaja wadah menjana ekonomi, malah menjadi benteng ketahanan negara dan penentu masa depan rakyat.
"Kerajaan negeri telah menggariskan beberapa langkah strategik termasuk memperluas program keterjaminan makanan melalui pengukuhan rantaian bekalan agro, memodenkan sektor tani dengan teknologi baharu serta memperkasakan belia tani melalui TVET.
"Antara inisiatif yang sedang digerakkan termasuk projek Bawang Perak yang kini semakin mendapat tempat di pasaran dan usaha penanaman kopi Perak sebagai komoditi baharu bernilai tinggi," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak di sini pada Sabtu.
Majlis perasmian disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Saarani berkata, pengurusan pembangunan tanah pertanian juga akan dilakukan dengan lebih teratur selain menekankan amalan pertanian lestari, inovatif dan berdaya tahan supaya rakyat mendapat makanan segar, selamat serta berkhasiat.
Beliau turut menegaskan bahawa agenda keterjaminan makanan negeri adalah selari dengan tema Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tahun ini.
"Selain sektor pertanian darat, Perak turut menumpukan kepada pembangunan ekonomi biru dengan memacu industri perikanan, pelabuhan, marin, agropelancongan serta pemuliharaan biodiversiti.
"Dengan sokongan semua pihak termasuk swasta, akademia, nelayan, pesawah, penternak dan usahawan tani, saya yakin Perak mampu menjadi peneraju utama ekonomi biru negara,” katanya.
Perak Agrofest 2025 berlangsung selama tiga hari dengan penglibatan lebih 60 jabatan dan agensi.
Antara pengisian utama ialah Forum Perdana serta pameran di Laman Ekonomi Biru, Pertanian, Padi, Nanas, Inovasi & Teknologi, Agro Madani, Veterinar bersama Zoo Taiping dan Empayar Makanan.
Menurut Saarani, penganjuran itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memacu pertanian berasaskan teknologi pintar dan TVET sekali gus menjadikan Perak sebagai peneraju agromakanan yang inklusif, berdaya saing dan lestari.
Ringkasan AI
- Kerajaan Perak memberi fokus kepada latihan TVET untuk memperkasa belia tani agar sektor pertanian kekal berdaya saing
- Pelan Perak Sejahtera 2030 bertujuan melahirkan generasi muda yang berkemahiran dalam agro dan teknologi pintar
- Inisiatif termasuk memperluas program keterjaminan makanan, memodenkan sektor tani dengan teknologi baharu
- Pentingnya sektor pertanian sebagai wadah menjana ekonomi dan benteng ketahanan negara ditekankan
- Perak juga menumpukan kepada pembangunan ekonomi biru serta pemuliharaan biodiversiti untuk menyokong agenda keterjaminan makanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

