Perak destinasi utama pelaburan di Malaysia

IPOH - Perak kini menjadi salah satu destinasi utama pelaburan dalam negara menerusi lima projek mega yang diumum dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP), Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjong Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Perindustrian Halal Perak (Perak HIP) merupakan projek berimpak tinggi yang menjadi bukti bahawa negeri ini dipandang serius oleh pelabur asing dan tempatan.
Menurutnya, begitu juga pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) yang akan menonjolkan keupayaan Perak sebagai peneraju industri mineral negara selain memperkuatkan ekosistem dan rantaian nilai industri mineral strategik.
"Sokongan rasmi kerajaan Persekutuan melalui RMK-13 menambahkan lagi keyakinan pelabur bahawa projek ini mempunyai jaminan dasar serta kesinambungan politik.
"Kemasukan pelaburan berskala berbilion ringgit ini akan merancakkan keyakinan pasaran terhadap Perak sebagai negeri yang stabil, berdaya saing dan strategik," katanya ketika menjawab soalan lisan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Khamis.
Saarani berkata, projek-projek tersebut diunjur mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan yang berkemahiran tinggi dalam bidang automotif elektrik, teknologi hijau, logistik maritim, halal dan nadir bumi.
Menurutnya, situasi itu menuntut peningkatan kapasiti tenaga kerja melalui pembangunan bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan teknikal serta kewujudan pusat kemahiran baharu.
Sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (PN-Sungai Manik), Saarani menjelaskan kerajaan negeri pada tahun ini membuat kempen secara besar-besaran dalam TVET.
Katanya, usaha itu dilakukan sebagai mempersiapkan tenaga mahir yang diperlukan bagi memenuhi permintaan lima projek berimpak tinggi diumumkan itu.
Jelasnya, perbincangan serta kolaborasi juga turut diadakan bersama institusi pengajian tinggi (IPT) yang menyediakan program TVET di negeri ini supaya mewujudkan kursus bersesuaian.
"Kita berkolaborasi dengan IPT supaya mereka menyediakan subjek atau program yang bersesuaian dengan tawaran pekerjaan sebagai contoh di Tanjung Malim ada AHTV yang memerlukan sijil TVET berkaitan automotif jadi kita bincang dengan Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang.
"Kita bincang dengan UniKL supaya mereka dapat menyediakan program TVET yang bersesuaian dengan program berkaitan keperluan sumber manusia dalam bidang maritim," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

