Perak buat semakan belanjawan pembangunan Lenggong selepas pengiktirafan UNESCO

Saarani (dua dari kanan) meninjau ruang pameran yang disediakan sempena Warisan@Pasir Salak 2025 di Kompleks Pasar Tani Kekal, Kampung Gajah pada Ahad.
Saarani (dua dari kanan) meninjau ruang pameran yang disediakan sempena Warisan@Pasir Salak 2025 di Kompleks Pasar Tani Kekal, Kampung Gajah pada Ahad.
A
A
A

PASIR SALAK - Kerajaan Perak akan melakukan semakan belanjawan bagi memastikan keperluan pembangunan di Lenggong dapat dipenuhi selepas kawasan itu diiktiraf sebagai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Global Geopark (UGGp), 7 September lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun Perak mempunyai kekangan kewangan, kerajaan negeri akan tetap berusaha menyalurkan sebahagian dana untuk pembangunan Lenggong Geopark.

"Saya telah minta Exco Pelancongan untuk mengemukakan permohonan peruntukan, termasuk kepada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya)

"Walaupun duit kita sikit, kita akan cuba bantu," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Warisan@Pasir Salak 2025 di Kompleks Pasar Tani Kekal, Kampung Gajah pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot.

Menurut Saarani, perancangan pembangunan itu penting bagi memastikan kemudahan prasarana khususnya penginapan yang ketika ini tidak mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong.

"Saya terima rungutan daripada pengunjung yang kata tempat penginapan di Lenggong amat terhad. Ada yang menginap di chalet dan beberapa homestay sedia ada.

"Sedangkan nilai kehadiran pelancong dan pendapatan peniaga semakin meningkat. Kalau ada lebih banyak penginapan, sudah tentu ia jauh lebih baik," katanya.

Beliau berkata, pengiktirafan UGGp amat bernilai kerana meletakkan Lenggong bukan sahaja lokasi penting penemuan arkeologi Perak Man, malah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pengiktirafan itu masih menunggu proses pengisytiharan rasmi yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

"Pengiktirafan ini kena sentiasa dibajai dan dihayati supaya generasi di Lenggong menghargai nilai geopark ini. Kalau tidak, nilainya boleh susut dan UNESCO mungkin menarik balik pengiktirafan," katanya.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, MOTAC akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memperkukuh status Lenggong sebagai destinasi pelancongan antarabangsa.

“Kita ucap terima kasih kepada kerajaan negeri yang memberi sokongan penuh dalam usaha ini. Selepas pengiktirafan diperoleh, MOTAC akan membantu dari segi promosi serta menaik taraf kemudahan pelancongan di kawasan terbabit," katanya.

Pengiktirafan Lenggong sebagai UGGp dibuat dalam Persidangan Antarabangsa ke-11 Global Geopark di Universidad Catolica de Temuco, Araucania, Chile bersempena Mesyuarat ke-10 Majlis UNESCO Global Geoparks pada 7 Sept lepas.

Penerimaan rasmi itu mengiktiraf Lenggong sebagai sebahagian daripada rangkaian UGGp selepas empat tahun diwartakan sebagai Lenggong Geopark Kebangsaan pada 16 Disember 2021.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!