JPN UTC Ampangan sesak, orang ramai hadir tukar, semak cip MyKad

Keadaan di JPN UTC Ampangan sekitar jam 4 petang, Selasa.
Keadaan di JPN UTC Ampangan sekitar jam 4 petang, Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Keadaan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan di sini dilihat agak sesak dengan kehadiran orang ramai yang hadir bagi urusan semakan dan penggantian MyKad.

Tinjauan Sinar Harian sekitar jam 4 petang mendapati ruang menunggu dipenuhi pengunjung manakala hampir semua kaunter dilihat beroperasi bagi menampung jumlah pelanggan yang tinggi.

Seorang pengunjung, Bazin Abd Rahim, 53, dari Sendayan memaklumkan telah menunggu lebih dua jam untuk menukar MyKad yang rosak akibat gambar kabur dan fizikal kad yang telah patah.

Bazin
Bazin

“Tadi saya ada urusan di bank, tapi timbul masalah bila nak kenal pasti muka kerana gambar pada kad sudah kabur, ditambah pula kad pun dah patah. Jadi saya terus ke sini untuk selesaikan segera.

“Tak sangka pula ramai orang. Mungkin sebab ramai yang nak semak cip MyKad susulan pelaksanaan subsidi bersasar minyak RON95 yang akan gunakan kad pengenalan,” katanya pada Selasa.

Tambah Bazin, beliau memilih untuk berurusan di UTC Ampangan kerana pusat itu beroperasi sehingga jam 8 malam, sekali gus memberi ruang masa yang lebih panjang untuk menyelesaikan urusan.

“Ini sahaja masa yang saya ada sebab hari ini cuti. Nak tak nak, kena tunggu juga sampai selesai,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Md Idris
Md Idris

Sementara itu, seorang lagi pengguna dari Port Dickson, Md Idris Kassim, 68, berkata, urusannya di JPN tidak mengambil masa lama kerana hanya datang untuk mengambil kad pengenalan yang telah siap.

“Saya tukar MyKad bukan sebab subsidi minyak, tapi sebab dompet hilang tiga minggu lepas. Kad pengenalan, lesen, dan kad bank semua hilang.

“Semua dah buat yang baru, cuma MyKad ambil masa sikit. Hari ini baru ada masa nak ambil,” katanya.

Kaunter JPN seluruh negara mulai diserbu orang awam yang mengambil peluang untuk menukar atau membaharui MyKad secara percuma.

Ia susulan pengumuman pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang memerlukan MyKad sebagai pengesahan identiti bagi membolehkan rakyat menikmati penggunaan bahan bakar itu pada kadar subsidi RM1.99 bermula hujung bulan ini.

Ringkasan AI

  • Keadaan di JPN UTC Ampangan sesak dengan kehadiran orang ramai untuk semakan dan penggantian MyKad.
  • Ruangan menunggu penuh dan hampir semua kaunter beroperasi menampung jumlah pengunjung yang tinggi.
  • Pengunjung menunggu lebih dua jam untuk menukar MyKad yang rosak dan kabur gambar.
  • Kehadiran ramai orang dikaitkan dengan keperluan semak cip MyKad untuk pelaksanaan subsidi bersasar RON95.
  • Program Budi Madani RON95 perlu MyKad sebagai pengesahan identiti bagi menikmati subsidi minyak RM1.99

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!