Sistem MyKad integrasi dengan MoF elak penyalahgunaan data

Saifuddin di sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian Bahagian Kad Pengenalan JPN, di sini pada Selasa.
Saifuddin di sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian Bahagian Kad Pengenalan JPN, di sini pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah melaksanakan integrasi sistem pengurusan MyKad dengan Kementerian Kewangan (MoF) bagi mengelakkan penyalahgunaan data selepas kehilangan kad pengenalan dilaporkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah itu diambil selepas pihaknya mengesan lebih 100 kes MyKad yang telah dilaporkan hilang tetapi masih digunakan untuk membuat tuntutan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah Untuk Semua (SARA) baru- baru ini.

“Apabila seseorang melaporkan kehilangan MyKad, JPN akan terus nyahaktif MyKad dalam sistem kami. Namun, sebelum ini sistem tersebut tidak berhubung terus dengan sistem MoF, menyebabkan kad yang hilang itu masih boleh digunakan untuk menuntut SARA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi Ibu Pejabat JPN, di sini pada Selasa susulan pengumuman pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula hujung bulan ini.

Menurutnya, kelemahan itu kini telah diperbetulkan dengan penyelarasan sistem antara JPN dan MoF yang dilaksanakan serta-merta.

“Sekarang sistem JPN akan berhubung terus dengan sistem MoF. Jika ada laporan kehilangan kad, ia akan tersekat secara automatik daripada digunakan untuk sebarang tuntutan,” tegasnya.

Beliau mengakui jumlah kes berkenaan kecil berbanding 18 juta penerima SARA, namun menyifatkannya sebagai isu serius kerana melibatkan integriti bantuan kerajaan.

“Ini bukan soal satu atau dua kes, ini soal memastikan tiada kebocoran. Kita mahu setiap sen yang diperuntukkan kerajaan sampai kepada rakyat yang layak,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun mekanisma pelaksanaan dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan dan menguji sistem sebelum dibuka sepenuhnya kepada lebih 16 juta pengguna yang layak.

Selain perlu memiliki lesen memandu yang sah dan aktif, rakyat Malaysia hanya perlu mengemukakan kad pengenalan untuk membeli RON95 pada kadar subsidi.

Dalam sidang akhbar sama, Saifuddin memberi jaminan langkah penyelarasan itu akan memastikan kelancaran pelaksanaan yang bermula 30 September ini.

Beliau berkata, integrasi sistem penting supaya rakyat yang layak menerima subsidi petrol tidak berdepan masalah ketika pengesahan identiti di stesen minyak.

“Kami mahu pengalaman rakyat pada hari pelaksanaan nanti berjalan lancar tanpa gangguan teknikal. Inilah sebabnya penggantian MyKad rosak digalakkan lebih awal,” jelasnya.

Saifuddin turut menegaskan kerajaan mengambil serius isu perlindungan data peribadi dan hanya berkongsi maklumat dengan agensi berkaitan mengikut keperluan.

“Proses penyelarasan ini dibuat secara selamat, tidak sewenang-wenangnya berkongsi data kerana melibatkan maklumat peribadi yang sensitif,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu sejajar dengan matlamat kerajaan memastikan subsidi bersasar benar-benar dinikmati rakyat tempatan sekali gus mengelakkan kebocoran kepada pihak tidak layak.

Saifuddin turut memuji pasukan teknologi maklumat JPN kerana bertindak pantas menyelesaikan isu tersebut.

“Kami belajar daripada insiden ini. Dengan integrasi baharu ini, sebarang kehilangan kad yang dilaporkan akan terus menyekat akses kepada program bantuan,” katanya.

 

Ringkasan AI

  • Jabatan Pendaftaran Negara melakukan integrasi sistem MyKad dengan Kementerian Kewangan untuk mengelak penyalahgunaan data
  • Langkah ini diambil setelah lebih 100 kehilangan MyKad yang masih digunakan untuk membuat tuntutan SARA dikesan
  • Sebelum integrasi, MyKad yang dilaporkan hilang tidak langsung dinonaktifkan dalam sistem MoF, memungkinkan penyalahgunaan untuk tuntutan SARA
  • Integrasi ini memastikan MyKad yang dilaporkan hilang segera dinonaktifkan di kedua-dua sistem JPN dan MoF
  • Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan langkah ini selepas meninjau operasi Ibu Pejabat JPN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!