[VIDEO] BUDI95: JPN lanjut operasi jika perlu

A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersedia melanjutkan masa operasi kaunter jika berlaku lonjakan permohonan penggantian cip MyKad rosak menjelang pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95)

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pegawai JPN.

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution

“Saya sudah maklumkan kepada pegawai JPN, jika perlu tambah masa, mereka bersedia untuk berbuat demikian sehingga semua urusan selesai,” katanya selepas meninjau pengoperasian Bahagian Kad Pengenalan JPN di sini pada Selasa.

Menurutnya, tinjauan selama 30 minit di Ibu Pejabat JPN mendapati urusan berjalan lancar walaupun jumlah kehadiran orang ramai semakin meningkat.

“Saya sempat berinteraksi dengan orang ramai yang datang dari sekitar Putrajaya, Kajang, Bandar Putra dan Subang. Mereka memilih untuk berurusan di sini kerana semua urusan siap dalam masa sehari,” katanya.

Menurutnya, sehingga jam 9 pagi, angka giliran sudah mencecah 99 namun bilangan tersebut masih dianggap munasabah.

“Mereka anggap tempoh menunggu sebagai tempoh yang wajar kerana urusan penggantian MyKad diselesaikan pada hari sama,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pengecualian caj RM10 berkuat kuasa hari ini hingga 7 Oktober, membolehkan orang ramai menukar MyKad rosak tanpa bayaran.

Berdasarkan purata 40,000 permohonan penggantian kad sebulan, kerajaan dianggarkan menanggung kos RM714,660 sepanjang tempoh itu.

Saifuddin berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat tidak berdepan masalah ketika pelaksanaan subsidi bersasar RON95 bermula 30 September.

“Kami mahu pastikan cip MyKad berfungsi dengan baik supaya proses pengesahan identiti ketika pembelian petrol bersubsidi tidak terganggu,” katanya.

Beliau menegaskan langkah proaktif ini memberi masa mencukupi kepada rakyat menggantikan MyKad sebelum hari pelaksanaan.

“Kami gesa orang ramai gunakan peluang ini. Jangan tunggu sehingga saat akhir,” katanya.

Saifuddin menambah, JPN akan memastikan stok kad mencukupi bagi mengelakkan sebarang gangguan.

“Kami mahu rakyat mendapat keyakinan bahawa urusan mereka boleh diselesaikan tanpa masalah,” katanya.

Ringkasan AI

  • JPN bersedia melanjutkan masa operasi kaunter jika berlaku lonjakan permohonan penggantian cip MyKad rosak untuk Program Budi Madani RON95
  • Menteri Dalam Negeri mengumumkan pengecualian caj RM10 untuk penggantian MyKad rosak berkuat kuasa hari ini hingga 7 Oktober
  • Pemerintah menanggung kos sekitar RM714,660 untuk langkah ini berdasarkan purata 40,000 permohonan penggantian kad sebulan
  • Langkah ini diambil untuk memastikan rakyat tidak berdepan masalah ketika pelaksanaan subsidi bersasar RON95 bermula 30 September
  • JPN akan memastikan stok kad mencukupi dan memudahkan urusan penggantian MyKad bagi memastikan proses pengesahan identiti ketika pembelian petrol bersubsidi tidak terganggu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!