Israel tidak benarkan kapal flotilla bantuan tembusi sekatan Gaza

Aktivis berlepas dari pelabuhan utara Tunisia, Bizerte, pada 14 September 2025 bagi menyertai kumpulan terakhir kapal yang mengambil bahagian dalam Flotilla Global Sumud menuju ke Semasa Gaza. (AFP)
Aktivis berlepas dari pelabuhan utara Tunisia, Bizerte, pada 14 September 2025 bagi menyertai kumpulan terakhir kapal yang mengambil bahagian dalam Flotilla Global Sumud menuju ke Semasa Gaza. (AFP)
A
A
A

BAITULMAQDIS – Israel menegaskan tidak akan membenarkan flotilla bantuan menuju Gaza memecahkan sekatan laut yang dikenakan ke atas wilayah itu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Israel menyifatkan Gaza sebagai “zon pertempuran aktif” dan menuduh kumpulan Hamas mengatur flotilla berkenaan untuk kepentingan politik mereka.

“Israel tidak akan membenarkan mana-mana kapal memasuki zon pertempuran aktif dan tidak akan membenarkan pelanggaran sekatan laut yang sah,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Israel bagaimanapun memaklumkan pihaknya bersedia membenarkan kapal-kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Ashkelon, di mana bantuan boleh dipunggah dan dihantar ke Gaza melalui saluran yang diselaraskan.

“Jika hasrat sebenar peserta flotila adalah menyalurkan bantuan kemanusiaan, Israel menyeru mereka supaya berlabuh di Ashkelon. Bantuan itu akan dipindahkan segera ke Gaza dengan cara yang teratur,” tambah kenyataan itu.

Flotilla yang dinamakan Global Sumud Flotilla berlayar dari Tunisia awal bulan ini selepas beberapa kali tertangguh. Antara tokoh yang menyertai ialah aktivis iklim terkenal dari Sweden, Greta Thunberg, selain pejuang hak Palestin lain.

Misi itu bertujuan menamatkan pengepungan Israel ke atas Gaza dan menyalurkan bantuan secara langsung kepada penduduk di wilayah berkenaan.

Sebelum berlepas, penganjur mendakwa dua kapal mereka disasarkan oleh serangan dron.

Israel sebelum ini berjaya menghalang dua cubaan flotila memasuki Gaza pada Jun dan Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pelayaran itu seramai 15 rakyat Malaysia turut menyertai misi berkenaan bersama delegasi dari 44 negara, yang berlayar dari Barcelona, Itali dan Tunisia bagi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Penyertaan Malaysia diketuai Datuk Sani Araby dari MAPIM Malaysia, dengan penglibatan beberapa NGO lain termasuk Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Salam Malaysia, manakala antara individu yang turut serta ialah bekas wartawan dan aktivis media sosial Zainal Rashid Ahmad (ZRA Strim).

Kehadiran mereka dianggap sebagai komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa bagi mendesak pembukaan laluan bantuan ke Gaza dan menamatkan serangan Israel.-Agensi

Ringkasan AI

  • Israel menegaskan tidak akan membenarkan flotilla bantuan menuju Gaza memecahkan sekatan laut
  • Gaza disifatkan sebagai zon pertempuran aktif oleh Israel, menuduh Hamas menggunakan flotilla untuk kepentingan politik
  • Israel bersedia membenarkan kapal-kapal tersebut berlabuh di Pelabuhan Ashkelon untuk pemindahan bantuan ke Gaza
  • Global Sumud Flotilla, termasuk aktivis terkenal Greta Thunberg, berlayar dari Tunisia untuk menamatkan pengepungan Israel ke atas Gaza
  • Delegasi termasuk 15 rakyat Malaysia berlayar dari Barcelona dan Tunisia bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, menunjukkan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!