Israel tingkat serangan terhadap Global Sumud Flotilla sebelum tiba di Gaza

SHAH ALAM - Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) berdepan peningkatan ancaman apabila beberapa kapal melaporkan telah disasar dan dijatuhkan objek tidak dikenali di atas serta berhampiran bot.
GSF dalam satu kenyataan berkata, ancaman itu datang daripada Israel hingga menyebabkan berlaku kerosakan serius dan gangguan komunikasi yang meluas.
Menurutnya, ia susulan taktik ugutan berterusan dan penyebaran maklumat palsu oleh Israel, yang didakwa bertujuan merosakkan imej serta membahayakan lebih 500 orang awam tidak bersenjata di atas flotila.
Tambah kenyataan itu, peserta terlibat hanya membawa makanan dan bekalan perubatan ke Gaza bagi menuntut penamatan sekatan haram rejim Zionis.
“Sekurang-kurangnya 13 letupan dilaporkan malam ini di atas dan beberapa bot flotila, disertai gangguan komunikasi meluas hingga menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan peserta.
“Dalam tempoh 24 jam lalu, lebih 15 dron altitud rendah dikesan berlegar-legar di atas bot Alma dan muncul hampir setiap 10 minit.
“Peserta flotila melaporkan sekurang-kurangnya 10 bot menjadi sasaran objek yang dijatuhkan daripada dron atau pesawat. Tiada kematian, malah tahap kerosakan dijangka dinilai sepenuhnya pada siang hari,” katanya pada Rabu.
Sebelum ini, kapal Alma dinaiki sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF dilaporkan didatangi 15 buah dron.
Perkara itu dimaklumkan salah seorang sukarelawan, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang juga Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) menerusi hantaran di Facebook beliau pada pagi Rabu.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan setakat ini tiada sebarang kecederaan dan turut meminta orang ramai untuk terus mendoakan keselamatan semua yang terlibat.
GSF turut memberitahu, Israel terus-menerus menuduh secara palsu bahawa GSF adalah ‘flotila Hamas’ serta mendakwa misi tersebut merancang tindakan ganas.
Pihaknya berpandangan, dakwaan sedemikian sebahagian daripada kempen maklumat palsu Israel bagi mencari justifikasi untuk menyerang misi kemanusiaan yang dikendalikan orang awam.
“Undang-undang antarabangsa menegaskan bahawa orang awam, termasuk mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan dilindungi di bawah Konvensyen Geneva.
“Sebarang serangan terhadap misi tersebut boleh diklasifikasikan sebagai jenayah perang dan kemanusiaan.
“Tindakan itu juga akan melanggar perintah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mewajibkan Israel membenarkan dan memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza,” ujarnya.
Justeru, GSF berkata, pihaknya menuntut semua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) khususnya yang rakyatnya berada di atas kapal untuk memastikan perlindungan berkesan diberi segera termasuk pengiring maritim dan pemerhati diplomatik.
“Ini supaya misi kemanusiaan itu dapat diteruskan dengan selamat.
“Kami juga menggesa Perhimpunan Agung PBB sesi ke-80 membincangkan serangan ke atas flotila dan meluluskan resolusi bagi menangani pelanggaran serius tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Ringkasan AI
- Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla berdepan ancaman dari Israel yang mendakwa misi sebagai tindakan ganas
- Beberapa kapal dilaporkan disasar dan dijatuhkan objek tidak dikenali menyebabkan kerosakan serius dan gangguan komunikasi
- Peserta misi hanya membawa makanan dan bekalan perubatan ke Gaza menuntut penamatan sekatan haram
- Lebih 15 dron altitud rendah dikesan berlegar mengganggu komunikasi dan keselamatan peserta
- GSF menuntut perlindungan berkesan dari anggota PBB termasuk pengiring maritim dan pemerhati diplomatik agar misi dapat diteruskan dengan selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

