Selepas Itali, Sepanyol pula umum hantar kapal perang lindungi flotilla menuju Gaza

MADRID - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez mengumumkan akan menghantar sebuah kapal perang tentera laut dari Cartagena bagi melindungi flotilla bantuan antarabangsa yang menuju ke Gaza.
Beliau berkata, langkah itu dibuat sebagai tindak balas terhadap insiden serangan ke atas Global Sumud Flotilla yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal awam membawa aktivis dan peguam dari 45 negara termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg.
"Esok kami akan menghantar kapal tentera laut dengan semua sumber yang diperlukan untuk membantu flotilla dan melaksanakan operasi menyelamat," katanya dalam sidang media di New York semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau menegaskan, Sepanyol turut menuntut agar undang-undang antarabangsa dihormati dan keselamatan rakyatnya dijamin semasa belayar di Laut Mediterranean.
Serangan ke atas flotilla berlaku kira-kira 30 batu nautika dari pulau Gavdos, Greece melibatkan 12 dron yang dipercayai menyerang lima kapal sehingga menyebabkan kerosakan pada tiang dan sistem komunikasi.
Walaupun Israel tidak mengaku bertanggungjawab, negara itu sebelum ini mengkritik misi flotilla kerana didakwa menyokong Hamas.
Dalam pada itu, Sánchez turut menyatakan sokongan terhadap misi kemanusiaan tersebut dan menegaskan Sepanyol akan berdiri teguh bersama negara-negara lain dalam mempertahankan hak asasi dan keselamatan peserta flotilla.
Tindakan Sepanyol turut disertai Itali yang telah lebih awal menghantar kapal perang bagi tujuan sama. - AGENSI
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Sepanyol umum penghantaran kapal perang untuk melindungi flotilla bantuan ke Gaza
- Tindak balas terhadap serangan ke atas Global Sumud Flotilla yang membawa aktivis dari 45 negara
- Kapal perang akan dilengkapi dengan sumber yang diperlukan untuk operasi menyelamat
- Sepanyol menuntut agar undang-undang antarabangsa dihormati demi keselamatan rakyatnya
- Tindakan Sepanyol disokong oleh Itali yang juga menghantar kapal perang untuk tujuan yang sama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

