Penurunan harga RON95 redakan inflasi, jana pertumbuhan - OCBC Research

Langkah rasionalisasi RON95 yang menetapkan harga bahan api itu kepada RM1.99 daripada RM2.05 seliter bermula 30 September, 2025, dijangka dapat mengekang tekanan inflasi selain menjana pertumbuhan. Gambar fail Bernama
Langkah rasionalisasi RON95 yang menetapkan harga bahan api itu kepada RM1.99 daripada RM2.05 seliter bermula 30 September, 2025, dijangka dapat mengekang tekanan inflasi selain menjana pertumbuhan. Gambar fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah rasionalisasi RON95 yang menetapkan harga bahan api itu kepada RM1.99 daripada RM2.05 seliter bermula 30 September, 2025, dijangka dapat mengekang tekanan inflasi selain menjana pertumbuhan, kata OCBC Global Markets Research.

Penurunan harga RON95 itu dapat mengurangkan inflasi tahunan sebanyak 0.1 mata peratusan manakala purata inflasi keseluruhan pada 1.3 peratus tahun ke tahun bagi tempoh Januari-Julai 2025.

"Jika diteliti, rasionalisasi subsidi air dijangka meningkatkan inflasi pada Ogos dan September, namun ini akan diimbangi oleh penurunan sebanyak 3.0 peratus bagi harga RON95 yang berkuat kuasa pada 30 September 2025.

"Dari sudut dasar monetari, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar pada mesyuarat 6 November," katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, CIMB Treasury and Markets Research pula menjangkakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggunakan pendekatan berwajaran volum dalam mengukur tingkat harga RON95 yang akan memberi kesan deflasi kecil terhadap Indeks Harga Pengguna (IHP).

Menurutnya, langkah sedemikian dilihat sebagai neutral-inflasi secara meluas dengan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada penurunan harga dan konsisten dengan garis panduan BNM bahawa pembaharuan domestik akan memberi kesan inflasi terhad.

"Kami mengunjurkan inflasi keseluruhan pada 1.5 peratus bagi 2025 dan 2.0 peratus pada 2026 yang menunjukkan penekanan kestabilan harga dan mengekalkan kadar sebenar dalam wilayah positif," katanya.

Kementerian Kewangan mengumumkan rakyat Malaysia layak menerima subsidi harga siling bulanan sehingga 300 liter RON95 di bawah program subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95).

Bagaimanapun, pemandu perkhidmatan e-hailing dikecualikan daripada had berkenaan dan boleh memohon tambahan bagi memastikan mata pencarian tidak terjejas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Langkah rasionalisasi RON95 menetapkan harga kepada RM1.99 daripada RM2.05 seliter bermula 30 September, 2025 dijangka dapat mengurangkan inflasi tahunan sebanyak 0.1 mata peratusan
  • Penurunan harga RON95 dijangka mengurangkan purata inflasi keseluruhan kepada 1.3 peratus tahun ke tahun bagi tempoh Januari-Julai 2025
  • Rasionalisasi subsidi air meningkatkan inflasi pada Ogos dan September tetapi diimbangi dengan penurunan harga RON95 sebanyak 3.0 peratus
  • Bank Negara Malaysia dijangka mengekalkan kadar dasar pada mesyuarat 6 November
  • Rakyat Malaysia layak menerima subsidi harga siling bulanan sehingga 300 liter RON95 di bawah program BUDI MADANI RON95, dengan pemandu e-hailing boleh memohon tambahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!