BUDI95 beri nilai tambah aktiviti ekonomi negara, tingkat pendapatan rakyat-YAPEIM

Farah (lima dari kiri) bergambar bersama delegasi YAPEIM ketika kunjungan ke Karangkraf pada Isnin.
Farah (lima dari kiri) bergambar bersama delegasi YAPEIM ketika kunjungan ke Karangkraf pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Program Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dijangka memberi kesan besar kepada nilai tambah aktiviti ekonomi negara, termasuk meningkatkan pendapatan rakyat.

Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Zabidi Nasan berkata, dalam konteks ekonomi, minyak merupakan instrumen utama dan penurunan harganya akan melonjakkan bilangan aktiviti perniagaan.

Beliau memberi contoh pekerja e-hailing seperti Grab yang kini berpeluang menambah bilangan perjalanan serta meraih keuntungan lebih baik berbanding ketika harga minyak lebih tinggi.

“Apabila jumlah perjalanan bertambah, ia secara langsung meningkatkan nilai tambah kepada pengusaha Grab. Kalau buat perjalanan seperti biasa sekalipun, kos minyak tidaklah sebanyak dahulu.

“Justeru, YAPEIM menyambut baik pengumuman kerajaan. Semoga usaha ini mampu melonjakkan aktiviti ekonomi negara dalam kalangan umat Islam dan rakyat keseluruhannya.

Zabidi menyampaikan cenderamata kepada Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika melakukan kunjungan hormat ke Karangkraf pada Isnin.
Zabidi menyampaikan cenderamata kepada Pengasas Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika melakukan kunjungan hormat ke Karangkraf pada Isnin.

“Ia juga menunjukkan komitmen kerajaan yang berterusan. Seandainya subsidi ini diperlukan untuk membantu masyarakat, maka pada pandangan saya ia wajar dikekalkan sehingga rakyat benar-benar mampu berdikari,” katanya ketika melakukan kunjungan hormat ke Karangkraf pada Isnin.

Kunjungan itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf Sdn Bhd, Nik Justin Nik Ariffin.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kunjungan tersebut, Zabidi berkata, YAPEIM dan Karangkraf menjalin kerjasama strategik bagi memperkasa pelaksanaan program pembangunan usahawan, pendidikan dan kemasyarakatan melalui promosi bersama serta pelbagai bentuk kolaborasi.

Jelasnya, kerjasama itu adalah usaha memperluaskan capaian maklumat masyarakat berhubung aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan kedua-dua pihak.

“Antara objektif utama kerjasama ini adalah untuk berkongsi pelbagai inisiatif dan program bermanfaat yang dilaksanakan menggunakan dana infak awam, di samping mewujudkan platform promosi bersama melalui medium media cetak dan digital Sinar Harian.

“Dengan adanya kerjasama bersama Karangkraf, khususnya Sinar Harian, kita berharap inisiatif ini dapat disebarkan dengan lebih meluas kepada masyarakat.

“Selain promosi bersama, kedua-dua pihak turut melihat potensi kolaborasi dalam pelaksanaan program, terutamanya dalam bidang tanggungjawab sosial korporat (CSR). Sinar Harian dan Karangkraf turut aktif dalam pelbagai program bantuan kepada pelajar dan komuniti yang selari dengan aspirasi YAPEIM,” ujarnya.

Beliau menambah, Sinar Harian diharap dapat memainkan peranan lebih aktif dalam menyebarkan informasi mengenai usaha YAPEIM dalam membangunkan masyarakat dari aspek pendidikan, ekonomi dan sosial.

“Kerjasama ini dilihat sebagai langkah positif ke arah memperkukuh jaringan strategik antara institusi pembangunan Islam dan media arus perdana demi manfaat masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Ringkasan AI

  • Program Budi Madani RON95 dengan subsidi petrol RON95 RM1.99 seliter mulai 30 September 2025 akan meningkatkan nilai tambah aktiviti ekonomi dan pendapatan rakyat
  • Penurunan harga minyak membolehkan pekerja grab menambah trip dan mencari keuntungan lebih
  • YAPEIM menyambut baik pengumuman kerajaan dan menganggapnya sebagai komitmen kerajaan untuk membantu masyarakat
  • YAPEIM dan Karangkraf menjalin kerjasama strategik untuk memperkasa pelaksanaan program pembangunan usahawan, pendidikan dan kemasyarakatan
  • Kerjasama ini bertujuan untuk memperluas capaian maklumat kemasyarakatan dan inisiatif bermanfaat melalui media cetak dan digital Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!