Rafizi ingatkan BUDI95 berisiko terdedah ketirisan baharu


Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, memberi peringatan bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar melalui Budi Madani RON95 (BUDI95) masih terdedah kepada risiko ketirisan baharu.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, walaupun kerajaan menetapkan kuota 300 liter sebulan bagi setiap pemegang lesen memandu sah, ruang untuk penyelewengan tetap wujud sekiranya kawalan tidak diperketatkan.

“Sebagai contoh, mereka yang tidak memerlukan kuota bulanan 300 liter boleh membeli pada harga subsidi dan kemudiannya menjual semula bahan api itu pada harga lebih tinggi.

“Satu contoh lagi, mereka yang diberikan kemudahan mendapatkan petrol bersubsidi tanpa had seperti pemandu e-hailing juga terbuka kepada risiko ketirisan baharu,” katanya dalam satu hantaran video di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan bahawa semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95, manakala pemandu e-hailing dikecualikan daripada siling tersebut dan boleh memohon nilai lebih tinggi mengikut keperluan menerusi program BUDI95 yang berkuat kuasa pada 30 September ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara adil kepada pengguna layak di samping mengelakkan ketirisan.

Namun, Rafizi meluahkan kebimbangan bahawa ada pemandu e-hailing mungkin menyalahgunakan kemudahan tersebut dengan membeli dalam jumlah besar untuk dijual di pasaran gelap.

Beliau menjelaskan, masalah seumpama itu pernah berlaku dalam bentuk subsidi lain sebelum ini dan tidak mustahil berulang sekiranya mekanisme baharu tidak diselia dengan rapi.

“Keputusan telah dibuat oleh kerajaan dan saya pasti perkara yang saya sebutkan tadi diketahui oleh Kementerian Kewangan (MoF) yang telah memilih kaedah itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Rafizi menambah, kesan sebenar pelaksanaan program BUDI95 terhadap kedudukan fiskal negara, matlamat penyasaran subsidi serta risiko ketirisan hanya dapat dilihat dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!