Pemimpin bukan Islam desak tindakan tegas, halang Himpunan Anti Rumah Anutan Haram

KUALA LUMPUR – Pemimpin politik bukan Islam dan wakil pertubuhan masyarakat mendesak kerajaan serta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas susulan perancangan himpunan yang didakwa mampu mencetuskan ketegangan kaum dan agama.
Desakan itu berikutan perancangan Himpunan Anti Rumah Anutan Haram yang dijangka bermula jam 8 malam berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk G Parameswaran berkata, walaupun hak berhimpun dijamin di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memprovokasi isu kaum dan agama.
Beliau menegaskan, isu rumah ibadat perlu ditangani secara menyeluruh dengan mengambil kira sejarah, faktor penempatan serta peranan komuniti setempat.
“Masyarakat India tersinggung dengan tindakan segelintir yang seolah memperkecilkan kepercayaan orang lain, namun belum ada lagi tindakan pantas dari pihak kerajaan," katanya.
Ujar beliau lagi, perhimpunan itu hanya akan mencurahkan minyak ke dalam api, memburukkan lagi rasa terpinggir dan seterusnya menggugat kepercayaan sesebuah komuniti terhadap sistem pemerintahan.
"Mana pergi larangan 3R yang dilaungkan selalu?" katanya.
Terdahulu, Penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram Zamri Vinoth mengesahkan bahawa polis telah dimaklumkan tentang perhimpunan tersebut seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sebanyak 141 NGO dijangka menyertai perhimpunan tersebut, yang dijadualkan bermula pukul 8 malam bagi memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dikuatkuasakan.
Sementara itu Ketua Pemuda Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Justin Prabakaran memaklumkan parti telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dengan permintaan agar pihak berkuasa campur tangan untuk menyekat perhimpunan tersebut.
Malah kata Justin, Presiden MIPP P Punithan turut menghantar surat rasmi kepada sekutu PN, PAS dan Bersatu, melalui Presiden parti Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kami (MIPP) menggesa ahli dan pemimpin mereka (PAS dan Bersatu) untuk tidak menyertai perhimpunan tersebut.
“Ini adalah untuk menjaga kerjasama dalam PN dan untuk menegakkan keharmonian, keamanan dan keselamatan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

