BUDI95: Kuota 300 liter perlu dikaji ikut keperluan semasa - AMK Johor

JOHOR BAHRU – Kuota 300 liter subsidi bersasar petrol RON95 bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang diberikan kepada warganegara perlu dikaji secara berkala agar terus relevan dengan keperluan semasa.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezuddin Puad berkata, langkah itu termasuk mengambil kira faktor inflasi dan kos sara hidup yang meningkat.
Jelasnya, tindakan itu penting bagi memastikan sistem subsidi bersasar tidak membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang bergantung kepada kenderaan untuk bekerja.
"Penyelarasan subsidi petrol RON95 yang dilaksanakan kerajaan penting untuk mengurangkan ketirisan yang selama ini banyak dinikmati oleh warga asing.
“Langkah beralih kepada sistem subsidi bersasar, kewangan kerajaan yang dijimatkan dapat disalurkan semula kepada program kebajikan dan pembangunan yang lebih memerlukan, seperti bantuan tunai langsung, menaik taraf pengangkutan awam, fasiliti kesihatan serta pendidikan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Ketua Cabang PKR Pulai itu juga yakin penyelarasan subsidi tersebut akan memberi impak positif dalam jangka panjang kepada ekonomi negara.
Selain itu, ujarnya, langkah berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan Madani mengurus kewangan negara dengan telus serta berhemat demi kesejahteraan rakyat.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program BUDI95.
Menurut beliau, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia, manakala bukan warganegara perlu membayar pada kadar RM2.60 seliter.
Ringkasan AI
- Kuota 300 liter subsidi petrol RON95 perlu dikaji secara berkala untuk kesesuaian dengan keperluan semasa
- Penyelarasan subsidi bertujuan mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan sederhana
- Peralihan ke sistem subsidi bersasar membolehkan penjimatan kewangan kerajaan disalurkan kepada kebajikan dan pembangunan
- Penyelarasan subsidi bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara dalam jangka panjang
- Harga petrol RON95 diturunkan ke RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia mulai 30 September, manakala bukan warganegara membayar RM2.60 seliter
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

