BUDI95: Rakyat perlu diyakinkan data peribadi dilindungi - Ahli Parlimen Bachok

Harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program BUDI95. Gambar hiasan (Gambar kecil: Syahir)
Harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program BUDI95. Gambar hiasan (Gambar kecil: Syahir)
A
A
A

SHAH ALAM – Rakyat perlu diyakinkan bahawa data peribadi yang digunakan bagi inisiatif subsidi bersasar Budi Madani RON95 (BUDI95) diurus secara telus, dilindungi dengan tahap keselamatan tinggi dan tidak disalahgunakan.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, mekanisme yang bergantung sepenuhnya kepada pengesahan melalui MyKad dibimbangi boleh menimbulkan kerumitan di stesen minyak, termasuk proses verifikasi yang mengambil masa lebih lama, selain menimbulkan persoalan mengenai integriti sistem serta perlindungan maklumat peribadi.

“Secara keseluruhan, rakyat menyambut pengumuman ‘populis’ ini dengan penuh berhati-hati.

“Perubahan harga di stesen minyak tidak menutup permasalahan yang lebih besar iaitu kos sara hidup yang kian menekan, kuasa beli yang semakin terhakis dan reformasi fiskal yang masih ‘tempang’ di era Madani, khususnya dalam aspek ketelusan serta konsistensi pelaksanaan.

“Saranan saya, jernihkan di huluan, maka jernihlah di hiliran,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program BUDI95.

Menurut beliau, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia manakala bukan warganegara perlu membayar pada kadar RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.

Mengulas lanjut, Syahir berkata, pendekatan struktur subsidi tersebut dilihat lebih memberi tumpuan kepada had penggunaan berbanding pendapatan pengguna.

“BUDI95 tidak mengenakan had pendapatan, T15 mahupun B85, sebaliknya hanya menetapkan had penggunaan 300 liter sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Pendekatan ini tidak mengambil kira variasi sebenar keperluan rakyat, sama ada keluarga besar atau kecil, jenis kenderaan, jarak ulang-alik tempat kerja, bahkan perjalanan pulang ke kampung beratus kilometer.

“Ringkasnya, subsidi yang dikatakan bersasar kelihatan sedikit tersasar,” katanya.

Beliau menambah, rakyat turut membangkitkan persoalan mengenai isu tersebut termasuk dari aspek penjimatan subsidi di pihak kerajaan.

“Rakyat menuntut kepastian terhadap dua persoalan pokok iaitu berapakah anggaran penjimatan subsidi di pihak kerajaan dan ke manakah penjimatan ini akan disalurkan?

“Dan soalan tambahan daripada Pak Mat dan ‘Uncle’ Lim, berapa lama harga RM1.99 ini mampu bertahan?” soalnya.

Ringkasan AI

  • Rakyat perlu yakin data peribadi dalam BUDI95 dilindungi dan tidak disalahgunakan
  • Kerumitan boleh timbul di stesen minyak akibat pengesahan melalui MyKad
  • Pengumuman subsidi bersasar disambut berhati-hati kerana tidak menyelesaikan isu kos sara hidup
  • Program BUDI95 menetapkan had penggunaan bukan pendapatan, tidak mengambil kira keperluan sebenar rakyat
  • Rakyat bimbang tentang berapa lama harga subsidi dapat bertahan dan ke mana penjimatan kerajaan akan disalurkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!