Inkues Zara Qairina: Mona Din mohon maaf kepada Peguam Negara

SHAH ALAM - Aktivis Che Muna Din atau lebih dikenali sebagai Mona Din memohon maaf kepada pihak Peguam Negara berhubung satu hantaran di laman Facebook peribadinya pada 4 September lalu.
Beliau berkata, permohonan maaf itu dibuat selepas menerima Notis Tunjuk Sebab bertarikh 10 September 2025 berkaitan hantaran berkenaan.
Menurut Mona, beliau tidak pernah berniat untuk mempertikai atau mencampuri prosiding Mahkamah Koroner yang sedang berjalan ketika itu.
“Saya juga tidak mempunyai niat jahat untuk mempengaruhi pandangan serta persepsi masyarakat, apatah lagi Hakim Mahkamah Koroner yang sedang menjalankan prosiding inkues.
“Saya berjanji untuk tidak lagi membuat sebarang hantaran yang boleh dianggap mengganggu sistem keadilan dan menghina mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan bahawa hantaran tersebut telah dipadam pada 13 September lalu sekitar jam 6.18 petang.
“Saya dengan penuh rendah diri ingin sekali lagi memohon maaf serta mengucapkan terima kasih kepada pihak Peguam Negara kerana telah memberi kesempatan untuk saya memohon maaf bagi menyelesaikan isu ini,” jelasnya.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menyerahkan notis tunjuk sebab kepada Mona Din pada 10 September selepas beliau didapati memuat naik hantaran bersifat menghina mahkamah di laman Facebook berhubung prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan, notis itu diserahkan selaras dengan Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
“Penghantaran notis tunjuk sebab ini merupakan sebahagian prosedur yang perlu dipatuhi bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah.
“Penelitian AGC mendapati hantaran dimuat naik Che Muna Din, yang antara lain mempertikai keterangan saksi pakar iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Dr Jessie Hiu, berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan prosiding inkues yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Ringkasan AI
- Aktivis Che Muna Din meminta maaf kepada Peguam Negara kerana hantaran Facebook yang dibuat pada 4 September
- Mona mengakui permohonan maaf selepas menerima Notis Tunjuk Sebab dari Peguam Negara bertarikh 10 September
- Beliau menafikan niat untuk mempertikai prosiding Mahkamah Koroner atau mempengaruhi persepsi masyarakat
- Mona berjanji tidak akan membuat hantaran mengganggu sistem keadilan dan menghina mahkamah lagi
- Hantaran yang dipertikaikan telah dipadam pada 13 September
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

