Inkues Zara Qairina: Ram Singh buat laporan polis kebocoran maklumat saksi

Ram Singh membuat laporan polis di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu. Gambar kecil: Zara Qairina
Ram Singh membuat laporan polis di Balai Polis Luyang, Kota Kinabalu. Gambar kecil: Zara Qairina
A
A
A

KOTA KINABALU - Peguam, Datuk Ram Singh membuat laporan polis susulan kebocoran maklumat salah seorang remaja yang diwakilinya sebagai saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir yang tular di media sosial.

Menurut laporan yang dibuat di Balai Polis Luyang kira-kira jam 4.14 petang Jumaat, beliau dimaklumkan semasa berada di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu bahawa kenyataan seorang saksi pelajar, yang sepatutnya direkodkan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, telah dibocorkan di media sosial serta disebarkan secara meluas melalui aplikasi WhatsApp.

“Pendedahan tersebut mengandungi butiran peribadi saksi termasuk nama penuh, alamat rumah serta nombor pengenalan diri.

“Selain itu, satu video di aplikasi TikTok turut memaparkan nama-nama kelima-lima kanak-kanak yang dituduh dalam kes ini,” katanya dalam laporan polis tersebut.

Beliau berkata, kebocoran maklumat itu menimbulkan ketakutan serta tekanan emosi kepada saksi pelajar berkenaan.

“Saya sendiri telah menemui saksi dan ibunya pada pagi ini (semalam) dan mereka dalam keadaan trauma serta menangis akibat pendedahan tersebut.

“Saya percaya tindakan ini melanggar undang-undang yang berkaitan dengan perlindungan saksi dan kanak-kanak, khususnya di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 serta peruntukan lain yang berkaitan dengan kerahsiaan prosiding mahkamah,” katanya.

Sehubungan itu, laporan berkenaan dibuat bagi membolehkan pihak polis menyiasat kebocoran maklumat sulit tersebut.

“Kenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan ambil tindakan sewajarnya demi melindungi prosiding inkues ini daripada terus tergugat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, prosiding di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu ditangguhkan pada jam 11 pagi selepas keterangan saksi kelapan, Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Azhari Abd Sagap, 31.

Koroner Amir Shah Amir Hassan yang mendengar inkues kematian Allahyarham Zara Qairina turut meluahkan kekecewaan selepas dimaklumkan bahawa pernyataan saksi remaja pertama telah tersebar di media sosial.

Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama pada 16 Julai lalu, namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

 

 

Ringkasan AI

  • Peguam Datuk Ram Singh membuat laporan polis atas kebocoran maklumat saksi dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir di Kota Kinabalu
  • Laporan dibuat susulan kenyataan saksi pelajar tersebar di media sosial dan WhatsApp termasuk butiran peribadi
  • Kebocoran maklumat itu termasuk satu video di TikTok yang memaparkan nama-nama kanak-kanak yang dituduh dalam kes
  • Keadaan ini menimbulkan ketakutan dan tekanan emosi pada saksi pelajar yang terlibat
  • Laporan polis dibuat untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kebocoran informasi untuk melindungi prosiding inkues

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!