Sindiket 'Ninja Turtle' biak, jual kura-kura eksotik kecundang

Operasi Bersepadu Khazanah merampas pelbagai spesies kura-kura dalam serbuan di sekitar Perlis pada Rabu. Foto Perhilitan
Operasi Bersepadu Khazanah merampas pelbagai spesies kura-kura dalam serbuan di sekitar Perlis pada Rabu. Foto Perhilitan
A
A
A

KANGAR - Geng Ninja Turtle yang terlibat dalam jenayah pemerdagangan pelbagai spesies kura-kura tumpas dengan rampasan lebih RM200,000 selepas tiga individu termasuk 'tauke' diberkas pada Rabu.

Kejayaan itu direkodkan menerusi Op Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Serbuan di tiga lokasi dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perlis itu berjaya merampas 50 ekor kura-kura.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, bertindak hasil maklumat, seorang lelaki tempatan ditahan kira-kira jam 12.35 tengah hari di sebuah rumah di Kangar dengan rampasan enam ekor kura-kura disyaki spesies Sulcata Tortoise.

Abdul Kadir
Abdul Kadir

"Suspek gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen sah bagi memiliki atau menyimpan hidupan liar tersebut," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, hasil maklumat dan pandu arah suspek, pasukan operasi melakukan serbuan kedua kira-kira jam 2.05 petang di sebuah rumah di Kaki Bukit sebelum menahan dua lagi lelaki tempatan.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 44 ekor kura-kura pelbagai spesies dirampas termasuk Sulcata Tortoise, Indian Star Tortoise, Baning, Leaf Turtle, Burmese Star Tortoise, Katup dan Black Marsh Turtle selain lima sarang burung tempua,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Kadir berkata, pemeriksaan lanjut di stor bangsal rumah terbabit turut menemukan 13 biji telur yang disyaki telur kura-kura.

Perhilitan merampas 13 biji disyaki telur kura-kura dalam serbuan pada Rabu. Foto Perhilitan
Perhilitan merampas 13 biji disyaki telur kura-kura dalam serbuan pada Rabu. Foto Perhilitan

Beliau berkata, soal siasat seterusnya membawa kepada serbuan ketiga di sebuah rumah lain di Kaki Bukit dengan penemuan 15 unit disyaki siung babi hutan.

“Dalam operasi ini, sebuah kenderaan pacuan empat roda serta beberapa telefon bimbit turut disita untuk siasatan lanjut.

“Keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM287,395,” katanya.

Abdul Kadir berkata, suspek pertama dipercayai merupakan 'tauke' utama Geng Ninja Turtle di utara Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi suspek disyaki diupah oleh suspek pertama bagi menjaga stor kura-kura.

"Mereka bergerak secara bersindiket. Kura-kura diperolehi dari Thailand, Vietnam, India dan spesies tempatan untuk dijual dalam pasaran tempatan dan luar negara.

"Suspek dipercayai menyimpan dan menjalankan pembiakan kura-kura secara haram seterusnya dijual di platform dalam talian," ujarnya.

Pelbagai spesies kura-kura dirampas dalam serbuan di sekitar Perlis pada Rabu. Foto Perhilitan
Pelbagai spesies kura-kura dirampas dalam serbuan di sekitar Perlis pada Rabu. Foto Perhilitan

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Pihak polis turut merampas beberapa jenis dadah daripada ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40-an.

"Mereka telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk tindakan lanjut," katanya.

Ringkasan AI

  • Geng Ninja Turtle tumpas dengan rampasan lebih RM200,000 selepas tiga individu diberkas
  • Operasi dilaksanakan Perhilitan dan WCB/PSK Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman
  • Serbuan di tiga lokasi merampas 50 ekor kura-kura
  • Ketua Pengarah Perhilitan berkata suspek gagal mengemukakan lesen untuk memiliki hidupan liar
  • Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!