Kerajaan Pulau Pinang sedia jadi pemudah cara selesai isu MSM Prai

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang bersedia memainkan peranan sebagai orang tengah dalam menyelesaikan isu melibatkan kilang penapisan gula Malaysia Holdings Berhad (MSM Prai) di Perai yang terletak di atas tanah pajakan milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC).
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menegaskan, tanah berkenaan adalah hak milik RAC dan bukannya kerajaan negeri yang mana tempoh pajakannya pula hampir berakhir.
“Tanah itu milik RAC, bukan kerajaan negeri.
"Maka, sebarang keputusan perlu dibuat melalui rundingan terus antara MSM dan RAC kerana mereka adalah pihak berkepentingan," katanya ketika sidang akhbar di pejabatnya, Komtar di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun tambah Kon Yeow, kerajaan negeri tetap bersedia menjadi pemudah cara kerana kerajaan negeri juga mahu projek perumahan yang dirancang RAC dapat dilaksanakan.
Terdahulu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dilaporkan akan mengadakan rundingan bersama kerajaan negeri serta RAC untuk mempertimbangkan lanjutan tempoh pajakan tanah kilang MSM.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pajakan tanah kilang yang ditubuhkan sejak 1964 itu akan tamat dalam tempoh lima tahun lagi dan difahamkan kerajaan negeri bercadang membangunkan kawasan berkenaan.
Katanya, kedudukan kilang itu strategik kerana berhampiran pelabuhan dan landasan kereta api yang memudahkan pengangkutan serta logistik, terutama bagi gula mentah yang diimport dari beberapa negara.
Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, maklumat yang diterima menunjukkan RAC sudah melancarkan projek perumahan di kawasan berkenaan termasuk bagi menempatkan semula penduduk setinggan di Kampung Manis.
“Keadaan di Kampung Manis boleh digambarkan seperti ‘urban slum’ yang menyedihkan.
"Sebab itu, projek perumahan ini amat penting bagi memberi kehidupan lebih baik kepada penduduk terbabit,” jelasnya.
Menurut beliau, isu operasi MSM tidak seharusnya menjadi halangan kerana syarikat itu masih memiliki fasiliti besar di Johor yang mampu menampung keperluan pengeluaran gula negara sekiranya kilang di Perai ditutup.
“Perkara ini boleh diperhalusi mengikut keperluan kerana MSM masih mempunyai aset lain yang boleh menyokong industri gula negara,” katanya.
Beliau menambah, kerajaan negeri akan terus mengikuti rapat perkembangan isu berkenaan dan bersedia mengadakan perbincangan bersama MSM serta RAC jika diperlukan.
“Keutamaan kita ialah memastikan projek perumahan rakyat mampu milik (RMM) di kawasan itu berjalan lancar, manakala isu MSM dan RAC dapat diselesaikan melalui perbincangan baik,” katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pulau Pinang bersedia sebagai orang tengah menyelesaikan isu MSM Prai di tanah pajakan RAC
- Tanah kilang penapisan gula MSM milik RAC dan bukan kerajaan negeri, pajakan hampir berakhir
- Felda bincang dengan kerajaan negeri dan RAC untuk pertimbangkan lanjutan pajakan tanah tersebut
- RAC merancang pembangunan perumahan termasuk penempatan penduduk Kampung Manis yang dianggap 'urban slum'
- Operasi MSM tidak halangan kerana mempunyai fasiliti besar di Johor untuk pengeluaran gula, kerajaan negeri pantau perkembangan isu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

