Isu ceramah di masjid: Hentikan fitnah terhadap MAIK, JHEAIK – Raja Muda Kedah

Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin
Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin
A
A
A

ALOR SETAR – Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menitahkan agar tohmahan dan fitnah terhadap Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dihentikan susulan isu ceramah di sebuah masjid di negeri ini baru-baru ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua MAIK bertitah bahawa MAIK menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah selaku Ketua Agama Islam Negeri pada 19 Julai 2023, bahawa masjid dan surau hendaklah dipelihara kesuciannya serta kekal bebas daripada unsur perpecahan dan kepentingan politik kepartian.

Titah baginda, semua bentuk pengisian agama di masjid dan surau adalah tertakluk kepada peraturan, garis panduan serta kebenaran yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Baru-baru ini telah tular di media sosial mengenai surat yang dikeluarkan oleh JHEAIK berhubung penolakan acara ceramah di sebuah masjid.

“Penolakan ini adalah berasaskan pekeliling yang telah dikeluarkan dan perkara ini telah pun diambil tindakan yang sewajarnya,” titah baginda dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, perkara ini diharapkan tidak akan berulang pada masa akan datang dan sekiranya berlaku lagi, tindakan akan diambil.

Jelas baginda, sebarang tohmahan atau fitnah yang disebarkan melalui apa jua medium bagi menjejaskan imej JHEAIK dan MAIK adalah tidak wajar serta perlu dihentikan dengan serta-merta.

“Tiada mana-mana individu atau pihak dikecualikan daripada pematuhan peraturan itu tanpa mengira jawatan, kedudukan atau latar belakang masing-masing.

“Ketetapan ini dilaksanakan secara adil, konsisten dan saksama demi memelihara kemuliaan masjid serta kewibawaan institusi agama Islam di Negeri Kedah,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Pada hujung Januari lalu, tersebar surat pemakluman daripada Pejabat Agama Daerah Kota Setar mengenai ceramah persiapan Ramadan di Masjid As-Salam, Alor Semela yang menjemput Exco Agama Kedah.

Surat bertarikh 22 Januari itu menyatakan keputusan tidak membenarkan penceramah berkenaan menyampaikan ceramah pada 26 Januari.

Ringkasan AI

  • Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah mengarah penghentian tohmahan terhadap MAIK dan JHEAIK
  • Titah Sultan Kedah menekankan masjid dan surau mesti dijauhi dari unsur perpecahan dan politik
  • Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau mesti patuh kepada peraturan dan garis panduan negeri
  • Terdapat surat tolakan ceramah oleh JHEAIK yang viral, tindakan telah diambil berdasarkan pekeliling yang ada
  • Imej MAIK dan JHEAIK tidak wajar dicemarkan, pematuhan kepada peraturan adalah mandatori bagi semua tanpa kecuali

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!