Cuaca panas, paras Sungai Muda rendah, pengguna diminta jimat air


GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memohon pengguna air di negeri ini supaya menggunakan air secara berhemah sepanjang Februari berikutan cuaca panas dan kering serta paras Sungai Muda yang berada di bawah paras selamat sejak awal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP dan PBA Holdings Berhad, Datuk K Pathmanathan berkata, taburan hujan yang sangat rendah direkodkan di kawasan tadahan air empangan utama negeri sekali gus memberi tekanan kepada sumber air mentah.
Menurutnya, daripada 1 Januari hingga 4 Februari, hanya 17.5 milimeter (mm) hujan direkodkan di kawasan tadahan air Empangan Air Itam manakala Empangan Teluk Bahang mencatatkan 5.5mm hujan sahaja.
“Situasi ini diburukkan lagi apabila paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang berada di bawah paras 2 meter selama 19 hari berturut-turut pada Januari lalu dan berterusan sehingga awal Februari,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, Sungai Muda merupakan sumber air mentah utama kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang menyumbang kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan pengeluaran air terawat Pulau Pinang iaitu sebanyak 1,208 juta liter sehari pada tahun lalu.
"Selain faktor cuaca, pelepasan air berskala besar dari Sungai Muda bagi tujuan pengairan sawah padi di Kedah dan Pulau Pinang turut menyumbang kepada penurunan paras sungai.
"Di Kedah, paras Empangan Beris dilaporkan susut sebanyak 12.65 peratus manakala Empangan Muda mengalami penurunan ketara sebanyak 42.94 peratus dalam tempoh sebulan, bermula 1 Januari hingga 4 Februari tahun ini," katanya lagi.
Sehubungan itu, Pathmanathan berkata, PBAPP telah melaksanakan beberapa langkah strategik bagi memastikan kesinambungan bekalan air khususnya di bahagian pulau.
"Antaranya ialah pelepasan air secara terkawal dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan bagi menyokong operasi LRA Sungai Dua apabila abstraksi air dari Sungai Muda terpaksa dikurangkan.
"Selain itu, PBAPP turut melaksanakan Strategi Dua Empangan di Bahagian Pulau (D3PI) dengan mengepam purata 407 juta liter sehari air terawat dari LRA Sungai Dua ke beberapa kawasan di pulau termasuk George Town, Pulau Tikus, Farlim dan Paya Terubong.
“Pelaksanaan D3PI membolehkan kawasan terlibat tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada empangan di pulau, sekali gus menjadikan bekalan air lebih selamat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelepasan air dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang turut diminimumkan sejak awal Januari bagi mengekalkan paras simpanan air memandangkan corak hujan kini sukar diramal akibat perubahan iklim.
"Setakat ini, tiada ancaman ketara terhadap krisis bekalan air di Pulau Pinang namun pendekatan berjaga-jaga perlu diamalkan oleh semua pihak.
“Kita tidak pasti berapa lama musim panas dan kering ini akan berlarutan. Oleh itu, kerjasama rakyat Pulau Pinang untuk menjimatkan penggunaan air amat penting bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan,” katanya.
Pengguna dinasihatkan merujuk laman web rasmi PBAPP untuk panduan penjimatan air di rumah dan tempat kerja.
Ringkasan AI
- Cuaca panas dan kering mempengaruhi penurunan paras air Sungai Muda, sumber utama ke Loji Rawatan Air Sungai Dua di Pulau Pinang
- Empangan utama Pulau Pinang mencatatkan taburan hujan yang sangat rendah sejak awal tahun
- Paras air Sungai Muda berada di bawah 2 meter selama 19 -hari berturut-turut pada Januari dan berlanjutan hingga awal Februari
- Pelepasan air dari Sungai Muda untuk pengairan sawah padi turut menyumbang kepada penurunan paras sungai
- PBAPP mengambil langkah strategik seperti pelepasan air terkawal dari Empangan Mengkuang dan melaksanakan Strategi Dua Empangan untuk menjaga kesinambungan bekalan air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

