Cadangan lanjutan pajakan kilang gula MSM Prai dibawa ke Jemaah Menteri – Anthony Loke

SEBERANG JAYA – Cadangan lanjutan tempoh pajakan tanah kilang memproses gula, MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM Perai), di sini akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, tempoh pajakan kilang itu sebenarnya telah tamat tahun lalu dan pihaknya sebelum ini telah beberapa kali membuat pengumuman berkenaan dengan rancangan untuk membangunkan semula Kampung Manis, termasuk melibatkan kawasan kilang terbabit.
Menurutnya, perancangan pembangunan semula Kampung Manis turut melibatkan kerjasama pihak swasta menerusi proses Request for Proposal (RFP), dan ia akan tetap diteruskan, termasuk penyediaan perumahan percuma untuk penduduk setinggan di kawasan berkenaan.
“Pembangunan semula Kampung Manis ini adalah selaras dengan visi Kerajaan Madani dan harapan Perdana Menteri untuk memberikan perumahan yang lebih baik kepada rakyat.
“Jadi, sudah tentu ia melibatkan pembangunan semula di keseluruhan kawasan Kampung Manis itu termasuk tapak kilang gula MSM Perai.
“Tetapi kilang itu tidak akan diminta pindah serta-merta. Kita akan memberikan masa kepada kilang tersebut untuk membuat pemindahan ke tempat lain kerana pembangunan akan dilakukan secara berfasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Tajaan Lindung Kendiri di Pejabat PERKESO Pulau Pinang di sini, pada Sabtu.
Anthony Loke berkata, perancangan untuk pemindahan kilang terbabit perlu dibincangkan, dan pihaknya berharap pengurusan kilang berkenaan dapat memberikan kerjasama yang baik terhadap keputusan itu.
Tegasnya, tidak timbul soal kilang itu akan ditutup serta-merta, sebaliknya ia diberi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun untuk dipindahkan.
“Jadi, saya rasa agak munasabah bahawa kilang itu diberikan masa, tetapi mereka juga kena bekerjasama dengan pihak kita, kerajaan negeri termasuk Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta Kementerian Pengangkutan.
“Kalau mereka tak pindah selama-lamanya, maka kawasan itu tak boleh dibangunkan,” tambahnya lagi.
Beliau berkata, cadangan lanjutan pajakan ini akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapat keputusan rasmi tidak lama lagi.
Sebelum ini, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memohon agar tempoh pajakan tanah kilang memproses gula, MSM Perai, dilanjutkan sehingga 30 tahun lagi bagi menjamin keterjaminan makanan negara, khususnya bekalan gula.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kedudukan strategik kilang itu yang berhampiran pelabuhan dan landasan kereta api terbukti penting kepada operasi industri gula negara sejak 1964 sehingga kini.
Menurutnya, sebarang usaha menutup kilang itu bukan sahaja memberi kesan besar terhadap bekalan gula dalam negara, malah turut melibatkan kos pembangunan semula yang amat tinggi.
Ringkasan AI
- Cadangan lanjutan tempoh pajakan tanah kilang memproses gula MSM Perai akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan
- Tempoh pajakan kilang telah tamat tahun lalu dan ada rancangan pembangunan semula Kampung Manis termasuk kawasan kilang
- Perancangan pembangunan semula Kampung Manis melibatkan penyediaan perumahan percuma untuk penduduk setinggan
- Kilang MSM Perai tidak akan diminta pindah serta-merta tetapi diberi masa untuk pemindahan kerana pembangunan akan dilakukan secara berfasa
- Felda memohon agar tempoh pajakan tanah kilang MSM Perai dilanjutkan sehingga 30 tahun lagi untuk menjamin keterjaminan bekalan gula dalam negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

