Pulau Pinang perluas sempadan 10 bandar, wujudkan 25 bandar baharu

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang mewartakan pindaan sempadan 10 bandar sedia ada serta pewujudan 25 bandar baharu yang melibatkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata di seluruh negeri, selaras dengan Seksyen 11(ca) dan 11(d) Kanun Tanah Negara (Akta 828).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu diumumkan menerusi Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No 36 bertarikh 4 September 2025 bagi menyelaras semula klasifikasi tanah desa kepada bandar agar seiring dengan kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial.
“Sejak pewartaan bandar dibuat pada 1966, banyak kawasan yang masih berstatus tanah desa telah membangun dengan pesat serta mengalami peningkatan kepadatan penduduk yang ketara antaranya Bayan Baru, Bukit Jambul, Seberang Jaya, Bandar Perda, Bandar Cassia, Simpang Ampat, Telok Air Tawar dan Bertam.
"Pindaan ini penting untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran daerah dan pembangunan negeri menjelang tahun 2030, selain mewujudkan sistem percukaian tanah yang lebih adil dan saksama kepada pemilik tanah di Pulau Pinang,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya, Komtar di sini pada Rabu.
Menurutnya, berdasarkan pewartaan terbaru itu, dua bandar di daerah Barat Daya iaitu Bayan Lepas dan Balik Pulau akan diperluaskan manakala empat bandar baharu diwujudkan iaitu Bayan Baru, Batu Maung, Sungai Ara dan Pulau Silikon.
"Di daerah Timur Laut pula, tiga bandar sedia ada iaitu Batu Ferringhi, Tanjong Bungah dan George Town turut diperluaskan manakala enam bandar baharu dicadangkan iaitu Bukit Jambul, Puncak Penara, Perdana Mutiara, Pinang Emas, Bayu Emas dan Lembah Permai.
"Bagi Daerah Seberang Perai Tengah, bandar Bukit Mertajam diperluaskan manakala lima bandar baharu diwujudkan iaitu Alma, Bukit Minyak, Bukit Tengah, Bandar Perda dan Seberang Jaya," jelasnya.
Sementara itu, di daerah Seberang Perai Selatan, Kon Yeow berkata, dua bandar sedia ada iaitu Sungai Bakap dan Nibong Tebal akan diperluaskan, manakala empat bandar baharu dicadangkan iaitu Jawi, Bandar Cassia, Simpang Ampat dan Bandar Tasek Mutiara.
"Bagi daerah Seberang Perai Utara pula, dua bandar iaitu Kepala Batas dan Butterworth diperluaskan manakala enam bandar baharu diwujudkan iaitu Sungai Dua, Teluk Air Tawar, Bertam, Tasek Gelugor, Pokok Sena dan Ara Kuda.
"Menurut Jabatan Perancang Bandar dan Desa Pulau Pinang (PLANMalaysia), George Town dikenal pasti sebagai Bandar Wilayah manakala tujuh kawasan lain sebagai Bandar Utama iaitu Balik Pulau, Batu Kawan-Cassia, Bayan Baru, Bukit Mertajam, Butterworth, Kepala Batas dan Nibong Tebal," katanya.
Menurutnya, selepas pewartaan itu, secara keseluruhannya Pulau Pinang mempunyai 42 bandar, di mana 10 bandar adalah bandar diperluas sempadan, 25 adalah bandar baharu, manakala tujuh bandar dikekal sempadan.
Beliau berkata, selain itu, sebanyak 31 kawasan lagi termasuk Batu Ferringhi, Tanjong Bungah, Tanjung Pinang, Ayer Itam, Bayan Lepas, Tasek Gelugor, Telok Air Tawar, Seberang Jaya, Prai, Simpang Ampat, Sungai Bakap, Juru dan Jawi diiktiraf sebagai bandar tempatan.
"PLANMalaysia menjelaskan, tafsiran 'bandar' berdasarkan Dasar Perbandaran Negara ke-2 (DPN2) 2018-2025 adalah kawasan yang diwartakan atau kawasan tepu bina dengan kepadatan penduduk 10,000 orang atau lebih.
"Ia juga merujuk kawasan pentadbiran daerah dengan 60 peratus penduduk berusia 15 tahun ke atas yang terlibat dalam aktiviti bukan pertanian," ujarnya lagi.
Kon Yeow berkata, sebanyak 11 kriteria ditetapkan dalam menentukan sempadan sesebuah bandar antaranya saiz penduduk, faktor geografi, kawasan sensitif alam sekitar, pembangunan komited, sempadan lot, jajaran jalan utama serta potensi ekonomi dan sosial.
"Dalam masa sama, pindaan itu akan menyaksikan perubahan kadar cukai tanah dan cukai petak bagi pemilik hak milik terbabit bermula tahun 2026.
"Bagaimanapun, bagi meringankan beban, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri bersetuju menangguhkan perubahan kadar cukai petak strata sehingga 2027, melibatkan lebih 184,000 hak milik strata.
"Langkah itu memastikan semua 300,000 pemilik petak strata di Pulau Pinang kekal membayar kadar cukai sedia ada pada tahun 2026," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang melakukan semakan cukai tanah yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, yang mana akan melibatkan pengelasan tanah desa ke bandar di beberapa lokasi di Pulau Pinang.
Permohonan berwajib kepada Majlis Tanah Negara telah dibuat dengan mengambil kira rekod semakan terakhir cukai tanah di Pulau Pinang adalah 20 tahun lepas iaitu pada 1994.
Setakat November tahun lalu, proses semakan sedang berlangsung dengan melibatkan 370,000 hak milik tanah di Pulau Pinang oleh pasukan petugas di Pejabat Tanah Galian serta Pejabat Daerah dan Tanah.
Dijangkakan, proses semakan ini akan berterusan sehingga penghujung tahun 2025.
Ringkasan AI
- Kerajaan Pulau Pinang mewartakan pindaan sempadan 10 bandar sedia ada dan pewujudan 25 bandar baharu melibatkan lebih 210,000 hak milik tanah dan 184,000 hak milik strata
- Keputusan diumumkan untuk menyelaras semula klasifikasi tanah desa kepada bandar sejajar dengan kepesatan pembangunan ekonomi dan sosial
- Bayan Lepas dan Balik Pulau akan diperluaskan manakala bayan baru seperti Bayan Baru, Batu Maung, Sungai Ara dan Pulau Silikon diwujudkan
- Secara keseluruhannya, Pulau Pinang kini mempunyai 42 bandar yang termasuk 10 bandar diperluas sempadan, 25 bandar baharu, dan 7 bandar dikekal sempadan
- Pindaan ini melibatkan perubahan kadar cukai tanah dan cukai petak yang bermula tahun 2026, dengan penangguhan perubahan kadar cukai petak strata hingga 2027
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

