Perhimpunan aman bantah tuntutan mansuh matrikulasi

Kira-kira 200 perwakilan berarak sambil membawa beberapa sepanduk membantah cadangan UMANY di perkarangan KPT, Putrajaya pada Sabtu.
Kira-kira 200 perwakilan berarak sambil membawa beberapa sepanduk membantah cadangan UMANY di perkarangan KPT, Putrajaya pada Sabtu.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kira-kira 200 wakil pelajar dari 20 universiti mengadakan perhimpunan aman membantah cadangan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA).

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Haykal Halid berkata, cadangan UMANY adalah tidak bertanggungjawab dan tidak relevan kerana program matrikulasi terbukti berjaya sejak ditubuhkan pada 1998.

Beliau menegaskan, program matrikulasi telah melahirkan ramai cendekiawan dan menjadi saluran penting ke universiti.

"MPPK jelas menolak sebarang tuntutan memansuhkan matrikulasi kerana langkah itu bukan sahaja akan mengurangkan akses pendidikan kepada sebahagian besar pelajar, malah tidak mencerminkan kepentingan jangka panjang pembangunan pendidikan negara.

"Program matrikulasi telah terbukti memainkan peranan besar dalam menyediakan landasan kukuh yang efektif untuk melahirkan mahasiswa cemerlang serta menampung keperluan tenaga mahir negara," katanya.

Muhammad Haykal (tengah) menyerahkan memorandum bantahan kepada Asyraf (dua kanan) di pekarangan KPT, Putrajaya pada Sabtu.
Muhammad Haykal (tengah) menyerahkan memorandum bantahan kepada Asyraf (dua kanan) di pekarangan KPT, Putrajaya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perhimpunan aman dan penyerahan memorandum membantah cadangan pemansuhan matrikulasi oleh UMANY anjuran MPPK di pekarangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini pada Sabtu.

Terdahulu, kira-kira 200 perwakilan berarak dan berhimpun secara aman sambil membawa beberapa sepanduk membantah cadangan UMANY itu.

Artikel Berkaitan:

Selepas itu, Muhammad Haykal dan beberapa perwakilan menyerahkan memorandum bantahan kepada Penolong Pengarah Seksyen Kepimpinan dan Jati Diri Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi, Asyraf Radzwan.

Pada Jumaat, UMANY menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti bagi jurusan ijazah.

Presidennya, Tang Yi Ze berkata, pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik selain lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk universiti ternama dunia.

Muhammad Haykal berkata, MPPK mengecam sebarang tindakan, desakan atau pendekatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan mahasiswa serta mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Setiap isu pendidikan perlu dibincangkan dengan rasional dan profesional, bukan bertindak berpandukan emosi atau kepentingan tertentu semata-mata," tegas beliau.

Kira-kira 200 wakil pelajar dari 20 universiti mengadakan perhimpunan aman membantah cadangan UMANY di pekarangan KPT, Putrajaya, pada Sabtu.
Kira-kira 200 wakil pelajar dari 20 universiti mengadakan perhimpunan aman membantah cadangan UMANY di pekarangan KPT, Putrajaya, pada Sabtu.

Sementara itu, Ahli Eksekutif Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nur Akil Shamil Mohamed berpandangan, dakwaan bahawa STPM lebih diiktiraf antarabangsa berbanding matrikulasi adalah tidak tepat.

Jelasnya, matrikulasi menawarkan Program Pelajar Cemerlang Matrikulasi (PPC) yang membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke Ireland dan United Kingdom, sekali gus membuktikan matrikulasi turut mendapat pengiktirafan global.

Nur Akil Shamil berkata, pemansuhan matrikulasi akan menafikan peluang lepasan prauniversiti untuk bersaing secara sihat mendapatkan tempat di IPTA serta berisiko mencetus masalah baharu kepada ribuan pelajar.

"Adakah itu keadilan yang cuba diperjuangkan oleh UMANY. Mengapa peluang kepada lepasan prauniversiti untuk bersaing secara sihat bagi merebut tempat ke IPTA perlu dinafikan?" soalnya.

Beliau turut mempersoalkan kewajaran menggadaikan masa depan ribuan pelajar lain hanya kerana seorang pelajar tidak mendapat tempat di universiti pilihannya.

Ringkasan AI

  • Kira-kira 200 wakil pelajar dari 20 universiti membantah cadangan UMANY untuk memansuhkan program matrikulasi
  • Cadangan memansuhkan matrikulasi dikritik kerana mengurangkan akses pendidikan dan tidak menguntungkan pembangunan pendidikan negara
  • Program matrikulasi telah melahirkan banyak cendekiawan dan dianggap efektif dalam menyediakan mahasiswa cemerlang
  • Perhimpunan aman diadakan di Kementerian Pendidikan Tinggi dengan penyerahan memorandum bantahan
  • Dakwaan STPM lebih diiktiraf berbanding matrikulasi dipertikaikan, dengan bukti pengiktirafan global terhadap program matrikulasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!