UMANY mohon maaf cadangan mansuh matrikulasi

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Selepas menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik, persatuan mahasiswa dan pihak institusi pengajian tinggi, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) tampil memberi penjelasan berhubung cadangan memansuhkan program matrikulasi yang dibangkitkan pihaknya pada Jumaat.

Menerusi hantaran di laman Instagram, persatuan itu menjelaskan bahawa maksud sebenar cadangan tersebut adalah menggabungkan program matrikulasi dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) berasaskan sukatan pelajaran sijil itu yang diiktiraf secara meluas termasuk di peringkat antarabangsa.

Malah, persatuan mahasiswa Universiti Malaya itu menegaskan cadangan berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

"Kami gunakan perkataan 'mansuhkan' program matrikulasi yang mungkin menimbulkan salah faham. Kami memohon maaf atas kekeliruan tersebut.

"Cadangan melaksanakan sistem peperiksaan bersepadu sama sekali tidak berkaitan dengan isu perkauman.

"Tujuan sebenar ialah memperbaiki sistem sedia ada supaya lebih adil dan telus sekali gus menyelesaikan punca ketidakadilan dalam pengambilan pelajar ke universiti," katanya pada Sabtu.

Sebelum ini, UMANY menerusi presidennya, Tang Yi Ze, menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan Tinggi yang menuntut program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.

Memorandum tersebut dikemukakan susulan laporan media mengenai Edward Wong, lepasan STPM yang memperoleh CGPA 4.0 serta bercita-cita menjadi akauntan, namun ditolak enam universiti.

Dalam pada itu, UMANY menjelaskan cadangan peperiksaan bersepadu tetap akan mengambil kira keperluan golongan kurang bernasib baik bagi memastikan nilai keadilan sosial dizahirkan dalam proses kemasukan.

Artikel Berkaitan:

Pihaknya yakin apabila peperiksaan bersepadu dilaksanakan, kerajaan boleh menetapkan kuota khusus untuk membantu golongan yang memerlukan agar mereka diberi keutamaan.

"Dalam masa yang sama, semua pelajar cemerlang dapat dibandingkan secara adil di platform yang sama, sekali gus menyelesaikan secara tuntas kontroversi pengambilan pelajar yang sering berlaku setiap tahun.

"Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini memberi isyarat cadangan itu boleh dinilai secara menyeluruh, sekali gus menunjukkan kementerian tidak menolak sepenuhnya, sebaliknya memerlukan lebih banyak kajian," katanya.

Ringkasan AI

  • UMANY tampil memberi penjelasan mengenai cadangan memansuhkan program matrikulasi untuk digabung dengan STPM demi keadilan dan transparansi
  • Cadangan tersebut disalahertikan sebagai masalah perkauman sedangkan tujuan sebenarnya adalah untuk menyatukan sistem pemilihan masuk universiti
  • Menerusi memorandum yang diserahkan, UMANY menekankan pentingnya sistem peperiksaan yang adil dan telus untuk semua pelajar
  • Cadangan peperiksaan bersepadu mencakup keperluan golongan kurang bernasib baik dengan tetapan kuota khusus untuk membantu mereka
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek terbuka untuk menilai cadangan ini, menunjukkan pemerintah memerlukan waktu untuk kajian lebih lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!