Mansuh matrikulasi beri kesan peluang kemasukan ke universiti awam - UTM

SHAH ALAM - Program matrikulasi perlu dikekalkan sebagai antara laluan utama ke pendidikan tinggi bagi memastikan akses lebih adil, saksama dan inklusif kepada pelajar seluruh negara.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menegaskan, pemansuhan program tersebut akan memberi kesan terhadap peluang kemasukan pelajar ke universiti awam (UA), sekali gus bercanggah dengan aspirasi nasional dalam membentuk bakat masa depan negara.
"UTM yakin Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia komited memastikan anak-anak Malaysia menikmati peluang pendidikan menyeluruh serta adil, sejajar Perlembagaan negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
"Kami juga berharap agar isu ini tidak terus menjadi polemik berpanjangan, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi demi menjamin masa depan generasi muda yang lestari dan cemerlang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) dilapor menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam bagi jurusan ijazah.
Presidennya, Tang Yi Ze berkata, ini kerana pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik.
Malah katanya, silibus STPM lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk oleh universiti ternama dunia.
Ringkasan AI
- Program matrikulasi penting sebagai laluan utama ke pendidikan tinggi bagi akses yang adil dan inklusif
- Pemansuhan program matrikulasi akan menjejas peluang pelajar masuk ke universiti awam dan bercanggah dengan aspirasi nasional
- UTM percaya Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia komited memastikan peluang pendidikan yang adil
- Meminta agar isu pemansuhan program matrikulasi tidak menjadi polemik berpanjangan untuk kebaikan masa depan generasi muda
- UMANY mendesak supaya program matrikulasi dimansuhkan dengan mengangkat silibus STPM sebagai piawaian kemasukan ke universiti awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

