KBS sasar 2,500 pertubuhan belia mohon Geran Sejati Madani

Mohammed Taufiq
Mohammed Taufiq
A
A
A

SEBERANG JAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan sebanyak 2,500 pertubuhan belia di seluruh negara memohon Geran Sejati Madani bernilai sehingga RM100,000 sepanjang tahun 2026, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM250 juta.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, inisiatif berkenaan merupakan kali pertama Geran Sejati Madani diperluaskan secara khusus kepada pertubuhan belia yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

Menurutnya, pemberian geran itu bukan bersifat 'one-off' sebaliknya bertujuan membantu pertubuhan belia menjana pendapatan secara mampan selain melahirkan generasi pelapis negara yang berdikari.

“Kita tidak mahu RM100,000 ini bukan sekadar diberi dan habis begitu sahaja.

"Hasrat kita ialah supaya geran ini mampu berkembang daripada RM100,000 menjadi RM500,000 atau bahkan RM1 juta dalam tempoh setahun melalui aktiviti penjanaan pendapatan pertubuhan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni Pertubuhan Belia Peringkat Kebangsaan 2026 dan Majlis Peluncuran Sejati Madani X Belia di sini pada Ahad.

Tambah beliau, Program Santuni Pertubuhan Belia akan dilaksanakan sebanyak 12 siri jelajah ke seluruh negara bagi memastikan setiap pertubuhan belia menerima penerangan menyeluruh berkaitan tadbir urus organisasi, pematuhan undang-undang serta pengurusan persatuan yang lebih tersusun.

Katanya, program berkenaan turut melibatkan pengisian daripada Akademi Kenegaraan Malaysia bagi membentuk sahsiah, jati diri dan kepimpinan belia sebagai pelapis masa depan negara.

“Kita mahu pertubuhan belia ini berada dalam struktur organisasi yang baik, mematuhi undang-undang sedia ada dan mampu bergerak secara profesional serta berkesan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas syarat permohonan geran, beliau berkata, pertubuhan belia perlu berdaftar di bawah ROY serta wajib menghadiri Program Santuni Pertubuhan Belia sebagai syarat utama sebelum permohonan boleh dibuat secara dalam talian.

“Setakat hari ini, 187 pertubuhan belia telah menyertai program siri pertama ini dan mereka sudah layak untuk membuat permohonan.

"Selain itu, pemohon juga perlu mengemukakan beberapa dokumen penting manakala pelaksanaan projek akan dipantau oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, sementara KBS memantau keberhasilan keseluruhan program," katanya.

Menurut beliau, pemantauan berkenaan penting bagi memastikan dana yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada pembangunan belia.

“Kita tidak mahu RM100,000 ini habis tanpa hasil.

"Kita mahu melahirkan lebih ramai belia yang mampu menjana pendapatan sendiri dan bergerak ke hadapan secara berdikari,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa sehingga 30 Januari tahun ini, sebanyak 8,077 pertubuhan belia telah berdaftar di bawah ROY dan jumlah itu disasarkan untuk terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Kita bukan hanya mahu belia berpersatuan tetapi mahu persatuan itu diisi dengan program yang mampu membentuk masa depan negara,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Taufiq turut menggesa semua pertubuhan belia berdaftar agar merebut peluang menyertai siri jelajah Program Santuni Pertubuhan Belia di negeri masing-masing.

“Ini adalah kali pertama Sejati Madani diberikan kepada pertubuhan belia.

"Anak muda tidak perlu menunggu hari esok, hari ini lah masa untuk mereka bergerak, menyumbang idea, tenaga dan idealisme demi memastikan hala tuju negara berada di landasan yang betul,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan 2,500 pertubuhan belia memohon Geran Sejati Madani bernilai sehingga RM100,000
  • Geran bertujuan membantu pertubuhan belia menjana pendapatan secara mampan dan melahirkan generasi pelapis berdikari
  • Program Santuni Pertubuhan Belia dilaksanakan 12 siri jelajah di seluruh negara untuk pertubuhan belia menerima penerangan tentang tadbir urus yang baik
  • Pertubuhan belia perlu berdaftar di bawah ROY dan menghadiri Program Santuni sebagai syarat utama sebelum permohonan boleh dibuat secara dalam talian
  • Sebanyak 8,077 pertubuhan belia telah berdaftar di bawah ROY sehingga 30 Januari tahun ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!