Majoriti pembaca Sinar Harian tolak cadangan mansuh matrikulasi

Carta pai keseluruhan undian pembaca di empat platform media sosial Sinar Harian Facebook, X, Instagram dan YouTube.
Carta pai keseluruhan undian pembaca di empat platform media sosial Sinar Harian Facebook, X, Instagram dan YouTube.
A
A
A

SHAH ALAM – Majoriti besar pembaca Sinar Harian menolak cadangan supaya program matrikulasi dimansuhkan dan hanya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijadikan laluan tunggal ke universiti awam bagi kemasukan ke peringkat ijazah.

Daripada 3,043 undi yang direkodkan di keempat-empat platform media sosial rasmi Sinar Harian iaitu Facebook, X, YouTube dan Instagram, sebanyak 80.8 peratus atau 2,459 undi memilih ‘tidak’, manakala hanya 19.2 peratus atau 584 undi menyatakan persetujuan.

Undian yang berlangsung selama 24 jam berakhir jam 4.30 petang Sabtu itu memperlihatkan keputusan berbeza di setiap platform, namun majoritinya memilih untuk mengekalkan kedua-dua laluan sedia ada.

Di platform X, seramai 128 responden mengambil bahagian dengan 80 peratus memilih tidak bersetuju manakala hanya 20 peratus menyokong cadangan pemansuhan matrikulasi.

Di Instagram pula, sebanyak 2,139 undian direkodkan dengan 87 peratus menolak cadangan berkenaan dan hanya 13 peratus menyatakan persetujuan.

Graf undian pembaca mengikut platform media sosial Sinar Harian.
Graf undian pembaca mengikut platform media sosial Sinar Harian.

Sementara itu, keputusan di Facebook juga jelas memperlihatkan penolakan apabila 90 peratus daripada 51 undi tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan, manakala hanya 9 peratus bersetuju.

Bagi tinjauan di YouTube, seramai 726 responden mengambil bahagian dengan 62 peratus memilih ‘tidak’ dan 38 peratus menyokong.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, dapatan ini memperlihatkan majoriti pembaca Sinar Harian menolak cadangan tersebut, meskipun terdapat sedikit perbezaan peratusan antara platform.

Sebelum ini Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dengan alasan ia berterusan mewujudkan jurang ketara antara pelajar aliran tersebut dan pelajar STPM, khususnya dalam peluang melanjutkan pelajaran ke universiti awam.

UMANY berhujah bahawa sistem sedia ada tidak lagi mencerminkan prinsip meritokrasi sebenar kerana kuota kemasukan matrikulasi yang diperuntukkan sebahagiannya berdasarkan faktor kaum dan latar belakang tertentu.

Malah, UMANY turut menyatakan bahawa STPM seharusnya dijadikan satu-satunya laluan ke universiti awam bagi memastikan kesaksamaan dan persaingan sihat dalam kalangan pelajar tanpa mengira kaum atau latar belakang.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan reaksi balas dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dan ibu bapa yang melihat program matrikulasi masih relevan sebagai laluan alternatif selain STPM, terutama kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu melanjutkan pelajaran dengan lebih cepat.

Ringkasan AI

  • Majoriti pembaca Sinar Harian menolak cadangan pemansuhan program matrikulasi
  • Sebanyak 80.8 peratus undi menentang cadangan itu, hanya 19.2 peratus menyokong
  • Cadangan pemansuhan program matrikulasi dicetuskan oleh Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY)
  • UMANY berpendapat STPM seharusnya menjadi satu-satunya laluan ke universiti awam
  • Masyarakat melihat program matrikulasi masih relevan sebagai laluan alternatif ke universiti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!