Kerajaan tidak kompromi pihak tunggang isu Kampung Sungai Baru - Dr Zaliha

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menunggang isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sehingga menjejaskan ketenteraman awam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya kesal dengan tindakan provokasi yang berlaku semasa proses pengosongan tapak pembangunan kerana ia bukan dilakukan oleh penduduk asal.
“Saya tahu siapa sebenarnya yang berada di luar kawasan itu yang telah melakukan propaganda.
"Semalam (Khamis) saya dimaklumkan bahawa apa yang berlaku itu dilakukan oleh mereka yang bukan pun penduduk di situ,” katanya pada sidang media khas di sini pada Jumaat.
Menurutnya, kerajaan mahu memastikan proses pengosongan yang dilaksanakan mengikut perintah mahkamah dapat dijalankan dengan baik tanpa sebarang gangguan luar.
Beliau turut mengecam kenyataan pihak tertentu yang menyamakan situasi di Kampung Sungai Baru dengan konflik di luar negara.
“Saya kira tidak wajar untuk menyamakan apa yang berlaku dengan negara lain seperti di Indonesia atau Nepal. Kenapa kita mahu negara ini tidak aman?
"Saya tidak akan beri peluang untuk menunggang isu ini. Kita bersusah-payah memastikan keamanan negara, jadi hal-hal seperti ini perlu ditolak,” tegasnya.
Terdahulu, proses pengosongan tapak pembangunan di Kampung Sungai Baru pada Khamis menjadi tegang apabila 15 penduduk enggan berpindah dari kediaman mereka.
Dalam kekecohan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera di kepala akibat dibaling objek ketika rempuhan sekumpulan individu.
Dr Zaliha berkata, kerajaan sentiasa bersedia mendengar pandangan semua pihak termasuk penduduk yang tidak bersetuju, namun mengingatkan bahawa sebarang bantahan perlu disalurkan melalui saluran yang betul.
“Kalau tidak puas hati dengan pampasan, proses mahkamah ada untuk mereka lakukan. Bukan dengan mencetuskan provokasi atau mengajak orang lain berdemonstrasi,” jelasnya.
Beliau menyeru pihak terbabit menghormati keputusan majoriti penduduk yang telah bersetuju dengan pembangunan semula itu.
“Majoriti telah setuju dengan 72 peratus penduduk mahu projek ini diteruskan.
"Kami sebagai kerajaan hanya membantu untuk memudahkan mereka kembali ke kampung masing-masing dengan kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Dr Zaliha menegaskan bahawa penyelesaian isu Kampung Sungai Baru adalah tanggungjawab kerajaan demi penduduk yang telah menunggu hampir sembilan tahun untuk mendapatkan rumah baharu.
“Sejak dilantik sebagai Menteri Wilayah, saya menganggap ini antara isu legasi yang perlu diselesaikan secara tuntas. Kalau duduk di tempat penduduk yang sudah menunggu sembilan tahun, tentu kita faham perasaan mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan, projek pembangunan semula itu bermula sejak tahun 2021 dengan notis Seksyen 4 Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan ketika itu.
“Sekarang ini Kerajaan Madani mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikannya. Saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memikul amanah ini supaya penduduk dapat kembali semula ke kampung mereka dengan kehidupan yang lebih selesa,” jelasnya.
Menurutnya, kerajaan juga mahu memastikan penduduk menikmati manfaat pembangunan termasuk pampasan yang adil serta kediaman lebih baik.
“Penduduk tidak menolak pembangunan, mereka hanya mempertikai isu pampasan. Kalau ada yang masih tidak puas hati, saluran mahkamah ada untuk mereka,” katanya.
Dr Zaliha berkata, pemaju turut membantu meringankan beban penduduk dengan menanggung sewa kediaman sementara sehingga rumah baharu siap dibina.
“Begitu sekali keprihatinan yang kita usahakan. Sayangnya, ada antara penduduk yang telah meninggal dunia sebelum sempat melihat projek ini siap. Sebab itu saya berazam mempercepatkan penyelesaian supaya hak mereka dikembalikan,” katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang menunggang isu Kampung Sungai Baru
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zaliha Mokhtar, kesal dengan tindakan provokasi
- Tindakan provokasi dilakukan semasa pengosongan tapak pembangunan
- Provokasi bukan dilakukan oleh penduduk asal
- Kejadian terjadi diluar kawasan pembangunan oleh pihak yang tidak berhak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

