Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru sedia bertemu kerajaan

KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan pihak kerajaan bagi menyelesaikan isu pengosongan rumah.
Peguam yang mewakili jawatankuasa terbabit, N Surendran berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan bersimpati kepada penduduk dengan menyatakan bahawa akan menghantar wakil untuk membantu menyelesaikan masalah di sini.
"Kita sedia. Tetapi tidak mungkin ada perbincangan yang baik jika dalam masa sama tindakan pengosongan dengan jentolak dan sebagainya di pintu Kampung Sungai Baru. Tidak mungkin.
"Jadi kita minta kerajaan untuk berbincang. Mahu kerajaan campur tangan segera dan minta pemaju hentikan pengosongan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Menurut Surendran, Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru juga bertekad untuk menghapuskan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960.
"Kita akan berjuang supaya kerajaan mansuhkan seksyen ini yang telah membawa kepada kesakitan dan kesengsaraan rakyat Kampung Sungai Baru. Kita tak mahu lagi undang-undang digunakan kepada mana-mana rakyat di Malaysia termasuk Menteri Kabinet di Putrajaya walaupun kita tahu mereka tidak akan kena.
"Sebagai penasihat undang-undang, saya akan failkan permohonan yang diperlukan di mahkamah untuk membatalkan Seksyen 31(1)(c) ini," katanya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan Ahmad Zahid akan meminta Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani yang juga dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) untuk menguruskan masalah berkenaan dengan segera.
Ringkasan AI
- Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru sedia bertemu pihak kerajaan untuk selesaikan isu pengosongan rumah
- Timbalan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bersimpati dan akan menghantar wakil bantu selesaikan masalah
- Penduduk minta pemerintah campur tangan segera dan suruh pemaju hentikan pengosongan
- Jawatankuasa bertekad untuk menghapuskan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah 1960
- Ahli Parlimen Titiwangsa dilantik mengetuai Pasukan Khas UMNO untuk menguruskan penambahbaikan RUU Pembaharuan Semula Bandar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
