'Kami tidak mahu pampasan, mahu tanah warisan kekal' - Rafidah

KUALA LUMPUR - "Kami tak mahu pampasan, tak nak duit pemaju. Kami nak tanah warisan ini kekal turun-temurun untuk warisan kami."
Demikian tegas aktivis, Rafidah Ibrahim susulan operasi pengosongan kediaman penduduk Kampung Sungai Baru di sini.
Katanya, apabila proses pengosongan itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960, tindakan paksa rela kepada penduduk telah diambil untuk pampasan.
"Bukan duit pemaju yang kami nak sangat, itu tidak. Tolong jelaskan di sini kepada semua kerana duit pampasan bukan isu utama kepada Kampung Sungai Baru," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.
Rafidah turut menegaskan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) masih belum diguna pakai, dan sebarang keputusan melibatkan pembangunan semula kawasan tersebut seharusnya tetap menghormati hak milik individu.
Jelasnya, sekiranya jiran bersetuju dengan pemaju, hak penduduk yang tidak bersetuju tidak boleh dipaksa.
"Jadi saya nak tekankan jangan ada sesiapa mainkan isu majoriti dan minoriti. Sekarang ini belum ada URA, belum ada isu majoriti dan minoriti," ujarnya.
Dalam masa sama, Rafidah turut berkongsi pengalamannya ketika operasi pengosongan dijalankan pada Khamis, yang didakwanya dijalankan secara kasar dan tanpa pertimbangan.
"Saya memang berada di sini. Pagi semalam ketika mereka buat kerja, kami semua berada di dalam rumah. Waktu itu anak saya sedang tidur.
"Sangat rakus pemaju memecahkan pintu rumah tidak peduli, tidak fikir. Tekanan orang dewasa pun boleh rasa apatah lagi budak-budak," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan insiden ketika operasi pengosongan tersebut menyaksikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala selepas berlaku kekecohan.
Susulan itu, tiga lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam insiden tersebut.
Operasi pengosongan itu melibatkan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu merangkumi 37 unit rumah teres di kawasan terbabit, dengan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguat kuasa.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, tindakan tersebut dilaksanakan selepas melalui prosedur perundangan yang ditetapkan, termasuk keputusan mahkamah.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Sungai Baru menolak pampasan dan ingin tanah warisan mereka kekal turun-temurun
- Aktivis Rafidah Ibrahim menyatakan proses pengosongan itu menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 dan menegaskan bukan duit pemaju yang mereka mahukan
- Rafidah menekankan bahawa Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) belum diguna pakai dan hak milik individu harus dihormati tanpa paksaan walaupun jiran bersetuju dengan pemaju
- Operasi pengosongan dijalankan secara kasar menurut Rafidah, termasuk memecahkan pintu rumah ketika anaknya sedang tidur
- Operasi pengosongan melibatkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa, dengan tiga lelaki ditahan selepas kekecohan yang berlaku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
