Penduduk kemas barang, Kampung Sungai Baru tenang

KUALA LUMPUR – Kawasan penempatan di Kampung Sungai Baru di sini berada dalam keadaan tenang hari kedua operasi pengosongan pada Jumaat selepas kekecohan yang berlaku sehari sebelumnya.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar penempatan tersebut mendapati beberapa penghuni sedang mengemas dan membawa keluar barangan dari kediaman masing-masing.
Tiada kehadiran kawalan polis pada hari kedua, malah laluan yang ditutup semasa hari pertama operasi juga telah dibuka dan boleh dilalui kenderaan.

Penduduk, Abd Rahman Sleiman, 55, berkata, barangan rumahnya diletakkan sementara di rumah jiran sementara menunggu keputusan lanjut bersama adik-beradiknya.
“Semalam (Khamis) saya tak sempat berkemas. Barang-barang ini pun saya belum pasti hendak bawa ke mana.
“Saya rancang nak selesaikan semua ini dulu, baru fikir nak cari rumah di mana. Semalam elektrik sudah dipotong, jadi kami tidur malam tadi menumpang di rumah jiran,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, Jumaat.
Tambah Abd Rahman, dia telah menetap di penempatan itu sejak 30 tahun lalu selepas berkahwin dengan penduduk tetap di situ.

Dia yang tinggal bersama isteri dan ibu mentuanya turut menjelaskan bahawa ramai pasangan seusia dengannya yang dilahirkan dan dibesarkan di Kampung Sungai Baru reda dengan situasi ini, walaupun tidak dapat menahan rasa sedih apabila kediaman mereka terpaksa dikosongkan.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mohd Nor Khalid, 61, turut melahirkan kesedihan apabila terpaksa berpindah dari tempat tinggal yang menjadi lokasi dia membesar.
“Perasaan memang sedih. Saya lahir dan membesar di sini.
“Perancangan saya pun saya tak tahu. Air dan elektrik sudah dipotong. Emak saya pun sudah pindah ke rumah adik-beradik di Nilai. Saya harap perkara ini dapat dibatalkan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kawasan penempatan Kampung Sungai Baru berada dalam keadaan tenang pada hari kedua operasi pengosongan
- Beberapa penghuni sedang mengemas dan membawa keluar barangan dari kediaman
- Tiada kehadiran kawalan polis dan laluan yang ditutup semasa hari pertama operasi telah dibuka
- Abd Rahman Sleiman telah menetap di penempatan itu sejak 30 tahun lalu dan menyatakan kesedihannya terpaksa mengosongkan kediaman
- Mohd Nor Khalid melahirkan kesedihan terpaksa berpindah dari tempat tinggalnya dan berharap keadaan dapat dibatalkan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
