Pesta Filem Kota Bharu dicadang jadi program tahunan kerajaan negeri

Orang ramai yang hadir pada hari pertama Pesta Filem Kota Bharu 2025.
Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Orang ramai yang hadir pada hari pertama Pesta Filem Kota Bharu 2025. Foto SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan bercadang menjadikan Pesta Filem Kota Bharu sebagai salah satu program rasmi dalam kalender tahunan negeri bermula tahun hadapan.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, langkah tersebut selaras dengan dasar negeri dan penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang turut memberi ruang kepada perkembangan seni serta budaya.

“Filem bukan sekadar hiburan, tetapi boleh menjadi medium dakwah, pendidikan dan suara rakyat.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri mahu festival ini dikembangkan, diuar-uarkan secara menyeluruh dan diberi ruang menjadi program rasmi negeri,” katanya dalam ucapan perasmian Pesta Filem Kota Bharu 2025 di Dewan Persatuan Hokkien Kelantan di sini pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa Kelantan tidak menolak seni filem selagi berpaksikan Islam, malah mengalu-alukan karya yang mendidik jiwa, mengangkat sejarah serta tokoh negeri termasuk ulama tersohor Tok Kenali, pejuang Tok Janggut serta murabbi ummah Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tiga perkara utama yang ditekankan dalam penghasilan karya ialah pembangunan insan, ekonomi kreatif halal yang membuka peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda serta pemeliharaan identiti dan jati diri masyarakat.

“Kerajaan negeri sedia membantu dalam mengembangkan lagi Pesta Filem Kota Bharu ini ke arah penganjuran yang lebih gah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Pesta Filem Kota Bharu 2025, Amir Muhammad berkata, festival kali ini menampilkan sebanyak 26 filem pendek dan sebuah filem panjang bertemakan patriotik serta kekeluargaan selain beberapa filem yang mengetengahkan nilai hidup masyarakat Kelantan.

Beliau berkata, pesta juga menerima penyertaan istimewa tiga filem pendek hasil karya pelajar sekolah menengah termasuk dari Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu, Maahad Muhammadi Perempuan Pasir Pekan serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (Pekayatim).

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, terdapat tujuh slot tayangan filem pendek dari penggiat seni tempatan iaitu Panorama Kelantan, The Bendera Man, Sinemaraga, Bah, Coming Home for the New Year dan Marini,” katanya.

Amir menambah, festival kali ketiga itu turut menerima penyertaan tujuh filem pendek dari Indonesia, sekali gus membuka ruang pertukaran karya serantau serta peluang filem tempatan dikenali di peringkat antarabangsa.

“Penganjuran pesta ini dibuat hasil kerjasama Kuman Pictures, Persatuan Hokkien Kelantan, Kolektif Rumah Kosong dan beberapa lagi badan seni dengan semua tayangan dibuka secara percuma kepada orang ramai hingga Ahad,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!