SMKA Naim Lilbanat anjur makan malam amal sempena ulang tahun ke-85

KOTA BHARU - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat akan menganjurkan makan malam amal sempena sambutan ke-85 tahun pada 24 Mac ini di Dewan Haji Yaacob, di sini.
Program anjuran Pertubuhan Alumni Naim Lilbanat dengan kerjasama pihak sekolah itu akan turut menampilkan kumpulan nasyid popular Inteam dan Amin Idris.
Menurut Pengerusinya, Majdah Muhamad berkata, majlis tersebut akan turut diserikan dengan kehadiran adinda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V iaitu Tengku Maharani Putri Tengku Amalin A-Ishah Putri.
Beliau memberitahu, Tengku Amalin merupakan antara alumni di SMKA Naim Lilbanat.
"Keistimewaan program kali ini ialah kami menghimpunkan kesemua keluarga pengasas sekolah iaitu anak menantu Haji Idris Omar, pengetua pertama Madrasah An-naim, cucu Haji Nik Yahya Nik Daud pengasas madrasah dan keluarga Haji Yaacub Idris.
"Sebelum ini ia pernah diadakan pada tahun 2016 dimana ia turut dihadiri oleh ramai alumni termasuk yang berasal dari Brunei," katanya.
Menurut beliau, untuk penganjuran kali kedua ini diharap kesemua alumni yang berkelapangan dapat turut serta bagi mengeratkan hubungan sedia ada serta mengenang kembali jasa pengasas Naim yang telah menjadikan SMKA Naim Lilbanat antara sekolah agama terbaik di negara.
Ujarnya, mereka menyasarkan kira-kira 600 tetamu dengan konsep jualan meja bernilai RM3,000 bagi platinum, gold RM2,000 dan silver RM1,500.
Tambah Majdah, di samping mengumpul dana kebajikan, sumbangan yang diperoleh juga akan disalurkan ke Tabung Cinta Gaza Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang tertindas.
"Program ini terbuka kepada semua termasuk alumni, ibu bapa, masyarakat umum serta pihak korporat yang berminat untuk menyumbang dan kini cuma tinggal hanya empat meja yang masih belum ditempah.
"Mereka yang berminat boleh hubungi talian 014-5172957 atau 013-9890682," katanya.
Ringkasan AI
- SMKA Naim Lilbanat anjur makan malam amal sempena sambutan ulang tahun ke-85 pada 24 Mac di Dewan Haji Yaacob
- Kumpulan nasyid Inteam dan Amin Idris akan memeriahkan program yang merupakan kerjasama dengan Pertubuhan Alumni Naim Lilbanat
- Adinda Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, Tengku Maharani Putri Tengku Amalin A-Ishah Putri akan hadir sebagai salah satu alumni
- Program ini diharapkan dapat mengumpul dana kebajikan dan sumbangan akan disalurkan ke Tabung Cinta Gaza Malaysia
- Terdapat penjualan meja dengan nilai RM3,000 untuk platinum, RM2,000 untuk gold dan RM1,500 untuk silver, hanya empat meja lagi yang belum ditempah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

