RXZ Forever Legend di Kelantan sediakan tudung kepada peserta wanita tidak tutup aurat

A
A
A

KOTA BHARU - Pihak penganjur himpunan permotoran RXZ Forever Legend yang bermula pada Jumaat dan Sabtu di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung di sini akan menyediakan tudung kepada peserta wanita tidak menutup aurat.

Program yang julung kali diadakan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu dijangka bakal dibanjiri lebih 20,000 peminat sukan bermotor dari seluruh negara.

Pengarah program, Muhamad Huzaifah Abdul Halim berkata, seluruh kawasan tapak program diisytiharkan sebagai kawasan zon menutup aurat.

"Masuk sahaja ke tapak program di RTC Tunjung, secara automatik pengunjung memasuki zon menutup aurat.

"Pihak kami telah menyusun atur petugas bagi memantau sekiranya ada dalam kalangan wanita yang hadir tidak menutup aurat, urusetia akan memberikan kain tudung. Kami sediakan kain tudung untuk mereka nanti," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Menurut beliau, selain itu pihaknya juga turut mengisytiharkan kawasan terbabit sebagai zon menjaga kebersihan.

Ujarnya, bagi memastikan program ini berjalan lancar dan menurut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri, pihak urusetia dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Jababatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Unit Amal dan Rela akan memantau keseluruhan acara.

Muhamad Huzaifah memberitahu, pihaknya juga menguatkuasakan pengasingan tempat duduk antara lelaki, wanita dan berkeluarga.

"Semua peserta terutama pemilik motosikal dinasihatkan agar tidak mewujudkan amalan ‘rem motosikal’ yang akan mendatangkan bunyi bising di mana sahaja mereka berada sama ada di luar ataupun di dalam tapak program," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, semua pemilik motosikal diingatkan agar mematuhi setiap peraturan jalan raya yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tambahnya, diharap semua peserta memandu dengan berhemah dan tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Ringkasan AI

  • RXZ Forever Legend di Kelantan menyediakan tudung untuk peserta wanita yang tidak menutup aurat
  • Himpunan permotoran ini dijangka dibanjiri lebih 20,000 peminat sukan bermotor
  • Seluruh kawasan tapak program diisytiharkan sebagai zon menutup aurat
  • Penganjur menguatkuasakan pengasingan tempat duduk antara lelaki, wanita dan berkeluarga
  • Semua peserta dinasihatkan agar mematuhi peraturan jalan raya dan memandu dengan berhemah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!