'Macam mimpi, kami 11 sekeluarga tidak perlu lagi berhimpit'

Razak (dua,kiri) dan isteri disamping rumah baharu mereka semasa Majlis penyerahan Projek Rumah Warga Miskin & OKU yang disempurnakan oleh Zafri (kanan) bersama Zawahir (dua,kanan) di RPT Chucoh Puteri B, Kuala Krai. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Razak (dua,kiri) dan isteri disamping rumah baharu mereka semasa Majlis penyerahan Projek Rumah Warga Miskin & OKU yang disempurnakan oleh Zafri (kanan) bersama Zawahir (dua,kanan) di RPT Chucoh Puteri B, Kuala Krai. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KUALA KRAI - "Rumah kami bukan sahaja uzur namun hanya mempunyai sebuah bilik serta ruang tamu dan dapur yang sempit sehingga perlu berhimpit setiap kali semua 11 ahli keluarga berkumpul semasa menyambut Ramadan dan Syawal.

Demikian kata Razak Ibrahim, 60, apabila mengenangkan kembali kesusahan yang perlu dilalui sepanjang lebih satu dekad kerana tidak mampu menyediakan rumah yang lebih selesa untuk isteri serta tiga anak, menantu dan lima cucunya.

Menurutnya, impiannya untuk memiliki sebuah kediaman yang selesa, luas, dilengkapi tiga bilik akhirnya tercapai apabila menerima sumbangan daripada Islamic Aid Malaysia (IAM) bersama Etiqa Takaful melalui Projek Rumah Warga Miskin dan orang kurang upaya (OKU).

"Ia seperti mimpi apabila melihat sebuah rumah idaman di depan mata.

"Alhamdulillah sudah lama saya dan keluarga mengimpikannya. Namun dengan pendapatan sebagai buruh binaan yang tidak menentu ia sukar bagi saya.

"Terima kasih kepada IAM, Etiqa Takaful. Kami sangat terharu dan sudah tidak sabar untuk menyambut Ramadan dan Syawal tahun ini kerana anak-anak dan cucu tidak perlu lagi berhimpit dalam ruangan sempit setiap kali berkumpul," katanya ketika ditemui di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chucoh Puteri B di sini.

Zafri (kanan) bersama Zawahir (tiga,kiri) menampal tanda penyerahan rumah kepada Razak (kiri) dan isteri di RPT Chucoh Puteri B, Kuala Krai. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Zafri (kanan) bersama Zawahir (tiga,kiri) menampal tanda penyerahan rumah kepada Razak (kiri) dan isteri di RPT Chucoh Puteri B, Kuala Krai. Foto: SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Majlis penyerahan Projek Rumah Warga Miskin & OKU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Family Takaful Berhad, Zafri Ab Halim bersama Presiden IAM, Zawahir Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Razak memberitahu, sebelum ini dia pernah mencuba pelbagai usaha untuk memastikan kesemua ahli keluarga mendapat tempat tinggal yang selesa, namun semuanya menemui jalan buntu.

Ujarnya, sebelum ini mereka pernah menyewa namun terbeban dengan bayaran bulanan, kemudian memohon bantuan baik pulih serta rumah baharu namun gagal.

"Bantuan daripada IAM dan Etiqa Takaful ini datang pada waktu yang tetap kerana rumah ini siap sebelum Ramadan.

"Isteri, anak-anak dan cucu-cucu yang paling gembira, kerana dulu rumah hanya ada satu bilik. Tetapi kini mereka mempunyai bilik masing-masing dan saya serta isteri juga tidak perlu lagi tidur di ruang tamu," katanya.

Sementara itu, Zawahir memberitahu, rumah milik Razak itu dibiayai sepenuhnya oleh pihak Etiqa Takaful melalui Program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa Takaful.

Menurut beliau, IAM sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pelaksana yang menyiapkan rumah berkenaan dengan anggaran kos RM70,000 dimana ia dilengkapi tiga bilik tidur, dua tandas, ruang tamu dan dapur.

Dalam perkembangan sama, ujarnya, sebuah lagi rumah OKU di Kampung Merbau Kolah, Machang telah dibaik pulih dengan kos RM30,000.

"Keseluruhan projek telah disiapkan dalam tempoh dua bulan, lengkap dengan bantuan barangan keperluan asas harian bagi meringankan kehidupan seharian penerima.

"Selain itu, kunjungan IAM dan Etiqa Takaful ke negeri Kelantan turut menyaksikan

penyerahan sebuah van jenazah untuk kegunaan Masjid Nurul-Ehsan, Mukim

Serdang, Mahligai, Bachok, serta beberapa masjid dan surau berdekatan," katanya.

Menurut Zawahir, ia dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 ahli kariah, sekali gus meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan komuniti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!