Penganjur Makar Fest XL akan dipanggil dalam masa terdekat - Exco

Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung tindakan yang dikenakan ke atas penganjur Makar Fest XL.
Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung tindakan yang dikenakan ke atas penganjur Makar Fest XL.
A
A
A

KOTA BHARU - Penganjur Makar Fest XL akan dipanggil dalam masa terdekat berhubung persembahan dan tarian penonton yang tular di media sosial semasa konsert di Tunjung di sini pada Sabtu lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, notis akan dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI).

"Asas utama kita adalah untuk mendidik dan memberi kesedaran supaya garisan panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dipatuhi sepanjang mengadakan persembahan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Hilmi berkata, tindakan itu bertujuan merakam keterangan daripada pihak penganjur berhubung pelanggaran tersebut.

"Kerajaan negeri akan meneliti keterangan diberikan sebelum sebarang keputusan dibuat," tambahnya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, penganjur Makar Fest XL memohon maaf secara terbuka berhubung persembahan dan tarian penonton yang tular di media sosial semasa konsert di Tunjung di sini pada Sabtu lalu.

Menurut pengarah program, Issey Fazlisham, penganjuran selama tiga hari itu dilaksanakan mengikut garis panduan dan enakmen hiburan yang dikeluarkan oleh MPKB-BRI.

Pada Selasa penganjur Makar Fest XL dikenakan tindakan tegas apabila wang cagaran berjumlah RM8,000 dirampas susulan pelanggaran syarat hiburan membabitkan percampuran bebas antar lelaki dan perempuan serta tarian penonton pada konsert penutup festival makanan di Tunjong itu.

Selain rampasan wang cagaran, penganjur turut berdepan penalti maksimum hingga RM30,000 serta berisiko disenarai hitam sekiranya gagal menjelaskan kompaun yang dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Penganjur Makar Fest XL akan dipanggil oleh MPKB-BRI berhubung persembahan dan tarian penonton
  • Notis akan dikeluarkan untuk mendidik dan memberi kesedaran tentang garisan panduan kerajaan negeri
  • Tindakan ini bertujuan merakam keterangan daripada pihak penganjur tentang pelanggaran
  • Penganjur memohon maaf dan menyatakan acara dijalankan mengikut garis panduan dan enakmen hiburan oleh MPKB-BRI
  • Wang cagaran RM8,000 dirampas dan penganjur berdepan penalti maksimum RM30,000 serta risiko disenarai hitam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!