Kerajaan negeri ambil tanggungjawab insiden serangan Sultan Perak

IPOH – Kerajaan negeri Perak mengambil tanggungjawab penuh berhubung insiden seorang wanita cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di sini baru-baru ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak susulan insiden berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri menganggap ia sebagai satu peringatan penting dalam aspek keselamatan pada majlis melibatkan tetamu kenamaan.
“Pertama, kita mengambil tanggungjawab sekiranya terdapat sebarang kelonggaran dalam penganjuran. Tidak ada istilah menuding jari kerana ia berlaku dalam program kita.
“Pada masa sama, kita anggap ia sebagai 'wake-up call', peringatan kepada semua pihak bahawa keselamatan perlu diberi perhatian serius dalam mana-mana majlis yang dihadiri VIP, sama ada menteri besar, exco, penyanyi atau tokoh masyarakat,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Empower Tahfiz: Inisiatif Khas Pemerkasaan Anak-Anak Tahfiz Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Saarani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah mengambil langkah susulan dan sedang meneliti keperluan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan.
“Saya yakin pihak PDRM ada bengkel dan perbincangan untuk menambah baik SOP sedia ada.
“Kalau ada kelonggaran, mereka akan perketatkan kerana mereka lebih arif dalam soal keselamatan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Saarani melahirkan rasa kagum terhadap sikap tenang Sultan Nazrin yang tetap meneruskan tugasan dan menyempurnakan istiadat walaupun insiden itu berlaku.
“Tuanku masih berdiri, menerima tabik hormat, berjalan seperti yang dirancang, malah selepas itu beramah mesra dengan rakyat.
“Itu sangat menggembirakan kerana tiada suasana panik atau hiruk-pikuk,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri bersama pihak berkuasa akan memastikan aspek keselamatan terus diperkemas bagi mengelakkan sebarang kejadian sama berulang.
Sementara itu, Saarani memaklumkan satu laporan polis telah dibuat mengenai kewujudan akaun media sosial palsu yang menggunakan wajah dan suaranya menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut dimaklumkan mengenai perkara tersebut untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

