Kerajaan negeri, Persekutuan perlu erat kerjasama untuk pembangunan Kedah

ALOR SETAR – Usaha yang membawa kebaikan kepada rakyat perlu dilaksanakan secara bersama menerusi dasar terbuka kerajaan negeri dengan sokongan erat daripada kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, inisiatif pembangunan mampan hasil kerjasama kedua-dua pihak merupakan formula terbaik untuk memastikan Kedah terus menyumbang kepada kemajuan negara.
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan juga diharap bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama bagi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Harapan saya, dengan semangat ‘whole of nation’ dalam hubungan antara Persekutuan dan negeri di bawah semangat federalisme, segala perancangan serta aspirasi rakyat dapat diterjemahkan secara adil dan menyeluruh, baik di bandar mahupun luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat di Majlis Daerah Baling, pada Sabtu.
Majlis berkenaan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tidak mengamalkan politik pilih kasih, sebaliknya mengutamakan layanan sama rata tanpa mengira latar belakang, selaras dengan prinsip pentadbiran yang diamalkan.
“Insya-ALLAH, langkah ini akan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat. Saya berharap hubungan Persekutuan dan negeri dapat dipertingkatkan atas dasar federalisme,” ujarnya.
Tambah beliau, Kedah yang sinonim sebagai Jelapang Padi negara kini sedang mengorak langkah ke arah menjadi negeri perindustrian melalui peluasan kawasan industri sedia ada termasuk di Kulim Hi-Tech Park, Padang Meiha di Kulim, Bukit Kayu Hitam, Sungai Petani dan Gurun.
“Antara projek utama yang sedang berjalan termasuk pembangunan Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap oleh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), serta pembinaan laluan jalan raya baharu yang menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dengan CIQ Sadao di Thailand,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa Pelan Pembangunan Kedah 2035 menobatkan Baling sebagai Daerah Pelancongan Eko yang berasaskan khazanah alam semula jadi dan tinggalan sejarah.
“Pada 15 dan 16 Ogos lalu, Baling menjadi tuan rumah kepada acara marathon antarabangsa, The Magnificent Baling (TMB) 100. Penganjuran kali ketiga itu menyaksikan penyertaan 2,200 peserta dari 13 negara, meningkat berbanding lebih 1,000 peserta dari sembilan negara pada tahun lalu.
“Kejayaan ini membuktikan potensi besar Baling sebagai destinasi sukan pelancongan. Kita yakin tahun hadapan, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, penyertaan akan melebihi 3,000 peserta,” katanya.
Beliau percaya acara tersebut menjadi platform memupuk kesedaran dalam menghargai alam sekitar serta merapatkan hubungan sesama insan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

