RUU PSB: Tidak jejas tanah rizab Melayu, kuasa kerajaan negeri

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA) tidak akan menjejaskan tanah rizab Melayu, komuniti tradisional mahupun keseimbangan etnik di kawasan bandar.
Tanah rizab Melayu yang berstatus pegangan bebas juga akan kekal bebas, manakala tanah pajakan pula berpotensi mendapat lanjutan tempoh melalui budi bicara kerajaan negeri dalam konteks pembangunan semula bandar.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli menegaskan, RUU PSB sama sekali tidak mengambil alih kuasa negeri dalam urusan tanah dan perancangan bandar, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta Akta Perancangan Bandar dan Desa.
Sebaliknya, menurut beliau, RUU tersebut hanya melengkapi undang-undang sedia ada serta memberi alternatif lebih baik berbanding kaedah lama melalui Akta Pengambilan Tanah 1960 yang membolehkan pengambilan secara paksa.
“Pemilik sedia ada tidak akan diketepikan, sebaliknya dilindungi supaya dapat kembali ke rumah dengan taraf sama atau lebih baik selepas projek siap. Semua ini diperuntukkan secara telus dalam RUU PSB, tiada elemen yang disembunyikan.
“Melalui PSB, kita mahu elak berlaku pengambilan tanah terhadap bangunan-bangunan usang yang ada dalam bandar. Kita letak ambang persetujuan untuk rundingan lanjut.
“Jika penduduk mahu mendaftar secara sukarela dengan jawatankuasa eksekutif, mereka perlu buktikan persetujuan 100 peratus. Rundingan adalah keutamaan, bukan paksaan,” tegasnya ketika Sidang Media Khas RUU PSB di Parlimen pada Selasa.
Beliau menjawab beberapa isu berbangkit dalam memorandum bantahan terhadap RUU PSB.
Alias menjelaskan, kuasa menteri dalam RUU tersebut hanya bagi memastikan tadbir urus yang baik, manakala peranan menteri besar, ketua menteri serta datuk bandar kekal tidak terjejas.
Bahkan, tegas beliau, pengisytiharan tapak pembangunan semula mesti dibuat dan diwartakan oleh kerajaan negeri.
“Kita juga menerima sebanyak 534 tapak yang diluluskan pihak berkuasa negeri, dikemukakan kepada KPKT dan sebahagiannya telah diwartakan dalam rancangan tempatan untuk daerah berkaitan,” katanya.
Mengenai kebimbangan terhadap tanah wakaf, beliau menjelaskan, isu tersebut tidak berbangkit kerana tumpuan PSB adalah kepada kawasan bandar padat yang memiliki skim kediaman strata usang.
“Tumpuan kita adalah di kawasan perbandaran, yang padat, yang ada skim kediaman strata usang, lebih 40 tahun. Jika penduduk tidak mahu terlibat, tiada elemen paksaan,” katanya.
Tambah beliau, sehingga kini, PLANMalaysia telah mengadakan 108 sesi libat urus sejak 2023 melibatkan lebih 5,000 peserta.
“RUU ini telah melalui proses sejak 2012 dengan pelbagai sesi libat urus bersama akademik, badan profesional dan persatuan penduduk. Setelah 13 tahun, tidak wajar lagi ia ditangguhkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

