'Hentaman sangat kuat, kereta api funikular berkecai seperti kotak kadbod'

Gambar kiri:Seorang anggota polis merakam gambar ketika siasatan dijalankan berhampiran bangkai kereta api funikular bersejarah Elevador da Gloria (belakang) sehari selepas nahas yang meragut nyawa.-AFP.Keadaan kereta api funikular ikonik Elevador da Gloria yang musnah selepas tergelincir dan merempuh bangunan berhampiran di Lisbon, Portugal pada 3 September 2025.-AFP
Gambar kiri:Seorang anggota polis merakam gambar ketika siasatan dijalankan berhampiran bangkai kereta api funikular bersejarah Elevador da Gloria (belakang) sehari selepas nahas yang meragut nyawa.-AFP.Keadaan kereta api funikular ikonik Elevador da Gloria yang musnah selepas tergelincir dan merempuh bangunan berhampiran di Lisbon, Portugal pada 3 September 2025.-AFP
A
A
A

LISBON, PORTUGAL – Angka korban dalam nahas kereta api funikular bersejarah di bandar raya ini, Elevador da Gloria, meningkat kepada 17 orang selepas dua lagi mangsa meninggal dunia ketika dirawat di hospital, kata Ketua Agensi Perlindungan Awam Lisbon, Margarida Castro Martins pada Khamis.

Beliau memaklumkan, 21 mangsa lain turut cedera dalam insiden yang berlaku pada Rabu, termasuk beberapa pelancong asing yang menaiki kenderaan ikonik itu.

Bagaimanapun, identiti mangsa yang maut belum didedahkan bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa memaklumkan kepada keluarga terdekat.

Kerajaan Portugal mengisytiharkan hari berkabung nasional pada Khamis, sehari selepas tragedi yang disifatkan sebagai bencana terburuk dalam sejarah moden Lisbon.

Kesatuan pekerja pengangkutan SITRA memaklumkan, salah seorang mangsa yang terkorban adalah juruteknik brek kereta api funikular itu, André Marques.

Kereta api funikular yang mula beroperasi sejak abad ke-19 itu merupakan antara tarikan pelancongan utama Lisbon, terutama untuk perjalanan singkat melalui cerun curam di tengah bandar.

Pasukan patologi dari Institut Forensik Kebangsaan, dengan bantuan pakar dari tiga bandar lain, bekerja sepanjang malam melakukan bedah siasat.

Polis Kehakiman Portugal pula sedang menyiasat lokasi kejadian, namun pihak berkuasa enggan membuat spekulasi sama ada masalah brek atau kabel putus menjadi punca nahas.

Elevador da Gloria yang berwarna kuning-putih dilihat tergelincir dan merempuh bangunan berhampiran, menyebabkan struktur besi kenderaan itu remuk teruk.

Artikel Berkaitan:

“Itu hentaman yang sangat kuat, kereta api funikular tersebut berkecai seperti kotak kadbod,” kata seorang saksi, Teresa d’Avó, kepada stesen televisyen SIC.

Nahas berlaku sekitar jam 6 petang waktu tempatan ketika waktu sibuk. Semua mangsa berjaya dikeluarkan dari lokasi dalam tempoh lebih dua jam.

Majlis Bandaraya Lisbon menggantung operasi tiga lagi kereta api funikular terkenal di bandar itu sementara pemeriksaan keselamatan segera dijalankan.

Elevador da Gloria, yang mula beroperasi sejak tahun 1885, kini diklasifikasikan sebagai monumen kebangsaan.

Syarikat pengendali, Carris, dalam kenyataan di media sosial menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berjanji akan menjalankan siasatan penuh berhubung tragedi itu.

Presiden Marcelo Rebelo de Sousa serta Datuk Bandar Lisbon, Carlos Moedas, menyifatkan nahas itu sebagai tragedi luar biasa yang menimpa negara.

“Ini tragedi yang tidak pernah kita saksikan sebelum ini,” kata Moedas.

Kerajaan Portugal dalam kenyataan rasmi menyebut nahas itu sebagai “kemalangan tragis yang mengorbankan nyawa tidak ternilai dan meninggalkan seluruh negara dalam dukacita.”

Kesedihan turut dikongsi pemimpin Kesatuan Eropah dengan bendera EU di Parlimen Eropah serta Suruhanjaya Eropah di Brussels dikibarkan separuh tiang sebagai tanda berkabung.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!