Rakyat Malaysia pengguna antarabangsa paling ramai naiki kereta api Woosh

Rakyat Malaysia penyumbang teramai pengguna antarabangsa kereta api Woosh.-Agensi
Rakyat Malaysia penyumbang teramai pengguna antarabangsa kereta api Woosh.-Agensi
A
A
A

JAKARTA – Kereta api laju Whoosh mencatat pertumbuhan ketara jumlah penumpang antarabangsa sejak mula beroperasi, dengan rakyat Malaysia muncul sebagai pengguna paling ramai.

Menurut kenyataan PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC), daripada 528,000 penumpang antarabangsa, sebanyak 225,000 atau kira-kira 43 peratus merupakan pelancong dari Malaysia.

Trend positif itu semakin jelas pada awal September, apabila jumlah penumpang dari Malaysia mencecah lebih 750 orang sehari, kebanyakannya datang dalam kumpulan besar. Fenomena ini turut dipengaruhi cuti panjang hujung minggu yang disambut serentak di Indonesia dan Malaysia.

Pengarah besar KCIC, Eva Chairunisa berkata, peningkatan keyakinan rakyat Malaysia membuktikan Whoosh bukan sekadar pilihan rakyat tempatan, malah mendapat pengiktirafan sebagai perkhidmatan yang selamat, selesa dan boleh diharap oleh pelancong asing.

“Bagi pelancong asing, Whoosh bukan hanya pengangkutan, tetapi sebahagian daripada pengalaman pelancongan di Indonesia.

"Faktor kelajuan dan keselesaan menjadikan mereka memilih Whoosh untuk ke Bandung atau Jakarta,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Bagi mengukuhkan pasaran antarabangsa, KCIC bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia serta Dinas Pariwisata Jawa Barat melalui pelbagai promosi.

Antaranya, pameran pelancongan, penglibatan vlogger perjalanan dari Malaysia dan program ‘familiarization trip’ untuk pemain industri.

Hasilnya, kata Eva, semakin ramai pelancong dari Malaysia yang datang secara berkumpulan sama ada terus dari lapangan terbang atau selepas melawat destinasi di Jakarta, kemudian memilih ke Bandung dengan menaiki Whoosh.

Artikel Berkaitan:

“Whoosh kini bukan sekadar penghubung Jakarta–Bandung dalam masa singkat, malah menjadi tarikan pelancongan moden yang membanggakan Indonesia.

"Kehadiran pelancong asing, khususnya dari Malaysia, mengukuhkan lagi peranan Whoosh dalam menyokong industri pelancongan dan memperkenalkan imej positif Indonesia di mata dunia,” ujarnya.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!