Kereta api bawa batu kelikir terbakar, pemandu selamat

Sebuah lokomotif berusia 54 tahun milik JKNS terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke Stesen Keretapi Tenom, selepas menghantar muatan batu kelikir di Kampung Pangi, pada Selasa.
Sebuah lokomotif berusia 54 tahun milik JKNS terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke Stesen Keretapi Tenom, selepas menghantar muatan batu kelikir di Kampung Pangi, pada Selasa.
A
A
A

TENOM – Sebuah lokomotif berusia 54 tahun milik Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) terbakar ketika dalam perjalanan pulang ke Stesen Keretapi Tenom, selepas menghantar muatan batu kelikir di Kampung Pangi, pada Selasa.

Kejadian berlaku sekitar jam 4 petang di landasan Kilometer 133/0 laluan Tenom-Pangi, melibatkan kereta api kargo yang menggunakan enjin diesel.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintenden Azmir Abd Razak berkata, kejadian disedari pemandu selepas merasai bahang panas dari bawah kabin sebelum ternampak api merebak dari bahagian bawah kenderaan.

“Terdapat tiga kakitangan JKNS berada di dalam kereta api tersebut, termasuk pemandu dan pembantu. Mereka berjaya memberhentikan kereta api dan cuba memadamkan api sebaik menyedarinya,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Tambah beliau, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kereta api berkenaan tidak membawa penumpang dan hanya digunakan untuk tujuan pengangkutan barang.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya memaklumkan lokomotif terbabit merupakan aset lama yang telah dibeli sejak tahun 1971.

“Pemandu melihat asap keluar dari enjin kabin dan apabila dibuka, api marak. Beliau cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam jenis tepung,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!