Solidariti serumpun: Saat Indonesia menangis, Malaysia turut berduka

KITA dan Indonesia ibarat adik-beradik. Ada masa mesra, ada masanya bergaduh kecil. Kadang-kadang kerana isu pekerja asing, kadang-kadang kerana isu siapa tiru siapa, malah ada juga persaingan di padang bola yang membakar emosi.
Namun, walaupun bertikam lidah tapi bila jiran serumpun ditimpa musibah, semua perselisihan hilang begitu sahaja.
Rusuhan yang berlaku di beberapa wilayah Indonesia baru-baru ini mengundang derita rakyatnya.
Di saat getir itu, rakyat Malaysia tampil menghulurkan bantuan, sama-sama mencari jalan meringankan derita mereka.
Tak cukup hanya menzahirkan doa dan harapan agar keadaan kembali aman, ramai juga rakyat Malaysia memilih membantu guna aplikasi penghantaran makanan.
Tanpa mengira sempadan geografi, rakyat Malaysia mengambil inisiatif menukar lokasi aplikasi penghantaran makanan ke beberapa bandar utama di Indonesia untuk membuat pesanan dan diedarkan kepada rakyat terkesan dengan demonstrasi di negara itu.
Merak Jalanan suka melihat solidariti sebegini. Respons rakyat Indonesia juga menyentuh hati.
Walaupun sering usik Malaysia, kini mereka menulis doa dan ucapan syukur. Lucu tetapi penuh makna: “Nanti lepas sembuh, kita bergurau lagi tentang bola dan rendang.”
Inilah wajah sebenar kita. Walaupun sering berbeza pandangan, hati rakyat Malaysia mudah tersentuh melihat penderitaan jiran. Tindakan kecil itu mengajar kita makna sebenar persaudaraan. Walaupun sempadan memisahkan, hati tetap rapat.
Walaupun sering berbalah mengenai sukan, rendang dan batik, namun di saat Indonesia sedang berduka, ramai rakyat Malaysia sudi menghulurkan bantuan.
Malaysia dan Indonesia tetap saudara. Itulah ikatan yang menjadikan kita kuat. Merak Jalanan berharap generasi akan datang mewarisi persaudaraan ini dengan lebih kukuh.
Semoga kedua-dua bangsa serumpun ini sentiasa dipelihara dengan rahmat, kasih sayang dan saling menghormati.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
