Akaun 2 KWSP: 50 tahun nak keluarkan atau tidak?

Akaun 2 KWSP boleh dikeluarkan apabila pencarum mencapai usia 50 tahun. Foto hiasan
Akaun 2 KWSP boleh dikeluarkan apabila pencarum mencapai usia 50 tahun. Foto hiasan
A
A
A

CERITA ini berkisar tentang rakan Merak Jalanan yang genap berusia 50 tahun pada Januari lalu.

Seperti kebiasaan, apabila seseorang mencecah umur tersebut, ucapan hari lahir pasti disusuli dengan ayat popular, 'Tahniah, dah boleh keluar duit KWSP.'

Ya, umum mengetahui bahawa Akaun 2 KWSP boleh dikeluarkan apabila pencarum mencapai usia 50 tahun.

Pada ketika itu, pencarum bebas membuat pilihan sama ada mahu mengeluarkan sebahagian atau keseluruhan wang dalam Akaun 2. Namun, di sinilah timbul dilema dan kekeliruan yang sering berlaku.

Ramai tidak sedar pengeluaran Akaun 2 pada umur 50 tahun hanya dibenarkan sekali sahaja. Contohnya, jika Akaun 2 mempunyai RM100,000, anda boleh memilih untuk mengeluarkan keseluruhan jumlah tersebut atau sebahagian sahaja — RM1,000, RM10,000 atau apa-apa jumlah yang difikirkan sesuai.

Namun, selepas pengeluaran pertama dibuat, anda tidak dibenarkan lagi membuat pengeluaran tambahan daripada Akaun 2 sehingga mencapai umur 55 tahun.

Sekiranya seseorang itu hanya mengeluarkan RM10,000, baki RM90,000 akan 'terkunci' dan hanya boleh dikeluarkan semula apabila berusia 55 tahun. Perkara inilah yang sering menimbulkan rasa kecewa.

Bagi mereka yang tidak terdesak dan mempunyai sumber kewangan lain, isu ini mungkin tidak memberi kesan besar.

Namun, bagi individu yang merancang menggunakan Akaun 2 untuk menyelesaikan hutang atau keperluan penting, keputusan yang silap boleh memberi kesan jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Kesimpulannya, sebelum membuat pengeluaran Akaun 2, fikirlah dengan teliti dan rancang sebaiknya.

Jika belum benar-benar perlu, lebih baik biarkan wang itu terus disimpan supaya ia boleh lagi 'beranak-pinak'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!