Tegur bukan melarang tapi bimbang

MERAK Jalanan ada seorang kawan. Cina Kelantan. Nama dia Ong. Kami satu jabatan lebih 20 tahun. Dia satu- satunya pekerja kaum Cina di syarikat Merak Jalanan bekerja. Kadang-kadang kami lupa dia Cina.
Sama-sama pergi kursus ESQ dan menyanyi lagu Demi Matahari.
Berbuka puasa bersama jadi satu kemestian. Tak pernah nampak dia makan waktu siang ketika umat Islam berbuka puasa. Sering kali juga dia sebut Alhamdulillah.
Memberi salam juga menjadi satu kebiasaan. Dia bukan Islam tetapi menghormati kawan-kawan beragama Islam.
Merak Jalanan sebut perkara ini apabila ada pihak menegur tindakan Nga Kor Ming menyebut Alhamdulillah dan beberapa kalimah pujian kepada ALLAH di Dewan Rakyat.
Teguran itu wajar dan berasas. Ia bukanlah melarang secara mutlak penggunaan kalimah tersebut, tetapi bimbang ia sekadar digunakan untuk tujuan politik dan me-ngelirukan rakyat. Maklumlah, isu tunggang agama untuk dapatkan sokongan politik ini sudah kerap kali berlaku.
Ustaz Azhar Idrus pernah mengulas hal ini. Katanya, tiada masalah untuk orang bukan Islam mengucapkan kalimah ALLAH seperti Alhamdulillah selagi ia tidak digunakan untuk mempersendakan agama Islam.
Pada pendapat Merak Jalanan, kalau ada silap, betulkan dengan adab. Kalau ada perbezaan, urus dengan hikmah.
Negara ini milik kita bersama.
Jangan marah atau terlalu cepat menghukum. Sebagai umat Islam kita sepatutnya berasa gembira apabila kalimah Islam digunakan dalam ucapan oleh bukan Islam.
Doakan kebaikan. Bukan menghalang mengutuk dan memperkecilkan langkah mereka. Siapa tahu itu jalan hida- yah. Merak Jalanan mendoakan, mudah-mudahan ALLAH mengurniakan taufik dan hidayah kepada Ong dan Kor Ming..
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
