Menteri Indonesia larang Ketua Daerah adakan pesta mewah, risau tular di TikTok

JAKARTA – Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian, meminta semua ketua daerah supaya tidak mengadakan sebarang majlis rasmi yang mewah kerana dibimbangi akan tular di TikTok sekali gus menimbulkan kemarahan masyarakat.
Beliau menegaskan, rakyat kini amat peka terhadap tingkah laku pegawai kerajaan, justeru pesta atau acara berlebihan berpotensi menimbulkan kontroversi baharu.
“Kami menasihatkan supaya menangguhkan semua majlis rasmi yang nampak boros, termasuk yang disertai muzik atau pesta. Dalam situasi sekarang, perkara sebegini sangat sensitif,” katanya selepas mengadakan mesyuarat koordinasi bersama ketua daerah di Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Jakarta Pusat, pada Selasa.
Bekas Ketua Polis Negara itu, turut melahirkan kebimbangan sekiranya ada pegawai daerah yang tetap menganjurkan pesta mewah.
Menurutnya, rakaman acara boleh dipotong, disunting dan tular di media sosial sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Nanti jika pesta-pesta dengan muzik dipotong, dimuat naik di TikTok dan lain-lain, kemudian dibandingkan dengan rakyat yang menuntut pegawai bersikap rendah diri, ia akan menjadi bahan sensasi yang mudah dieksploitasi sesiapa sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, Tito menggesa agar majlis kerajaan daerah dijalankan secara sederhana, misalnya dengan mengadakan majlis pemberian sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.
Selain itu, beliau turut menegaskan agar ketua daerah dan keluarga mereka tidak mempamerkan kekayaan di khalayak ramai.
“Tolong ingatkan keluarga masing-masing terutama cara berpakaian, penggunaan cincin, jam tangan, perhiasan dan kenderaan. Hati-hati, situasi sekarang sangat sensitif. Ini juga termasuk majlis peribadi seperti resepsi perkahwinan atau sambutan ulang tahun,” tambahnya.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

